utama

Malaysia juara rokok murah [METROTV]

Oleh Skuad Khas Harian Metro

KUALA LUMPUR: Jimat duit, senang dapat dan tidak peduli pun jika kerajaan rugi.

Itu antara jawapan selamba perokok tegar kebanyakannya terdiri daripada kalangan kumpulan isi rumah B40 yang menghisap rokok seludup ketika Harian Metro melakukan tinjauan mengenai kesedaran perokok terhadap senario rokok di Malaysia.

Dalam tinjauan dilakukan sekitar Lembah Klang itu, beberapa perokok berkenaan ternyata tidak mempedulikan sebarang kesan negatif terhadap sekeliling dan hanya bersikap janji berasap (dapat merokok) biarpun menyedari mereka secara langsung membantu sindiket penyeludupan rokok membina kartel setaraf Al Capone yang mencuri hasil negara sehingga RM6 bilion setahun.

Sany, 38, berkata dia hanya memerlukan rokok sebab sudah sebati dengan tabiatnya merokok sejak lebih 10 tahun.

“Saya hanya nak merokok sebab untuk melepaskan keinginan. Lagipun saya bukan jenis yang setia kepada jenama. Apa-apa jenis rokok pun saya balun hisap rokok John ke, Canyon ke, keretek ke semua saya on (hisap) sahaja, janji berasap.

“Jika tak merokok saya rasa ada kekurangan tak kiralah ketika bersendirian ataupun ketika melepak dengan kawan-kawan di kedai makan,” katanya.

Beliau yang bekerja sebagai penghantar barang berkata, dia mengetahui kerajaan rugi berbilion ringgit setahun akibat kegiatan penyeludupan rokok di negara ini namun mengambil sikap sambil lewa tidak mempedulikannya.

“Bukan saya tak tahu kerajaan rugi bila saya beli rokok seludup atau murah, tetapi rokok sah mahal sangat. Bila kerajaan kenakan cukai tinggi, (harga) rokok sah melambung jadi saya yang berpendapatan rendah terpaksa juga hisap rokok seludup,” katanya.

Bagi jurukimpal, Edie, 24, katanya, sejak beralih kepada rokok seludup dia dapat menjimatkan perbelanjaan bulanannya berbanding ketika membeli rokok yang sah.

Menurutnya, sebagai perbandingan dia hanya membelanjakan RM120 sebulan jika sehari menghabiskan sekotak rokok seludup berbanding dalam tempoh sama terpaksa ‘rugi’ RM510 membeli rokok didaftarkan secara sah dan bercukai.

“Sekotak rokok seludup baru RM4 bro...buat apa nak habiskan RM17 untuk sekotak rokok sah. Dulu memanglah rasa teruk (rokok seludup dan murah) sebabkan tekak sakit, tetapi lama-kelamaan sudah sebati.

“Memang sebenarnya nak kekal dengan jenama asal sebab lebih sedap dihisap, tetapi akibatnya poket rabak pokai duit banyak habis.

“Jika kerajaan turunkan cukai mesti saya kembali hisap rokok sah. Kerajaan kena wujudkan situasi menang-menang, jika tidak saya dan kawan memang terus beli rokok seludup biarpun kami tahu yang untung adalah sindiket....juta-juta mereka dapat (hasil penjualan rokok seludup),” katanya.

Pekerja am mahu dikenali sebagai Zaki, 41, pula berkata rokok seludup mudah didapati di banyak kedai runcit khususnya yang diusahakan warga asing seperti warga Indonesia menyebabkan pelanggan sepertinya mudah mendapatkan bekalan.

“Bekalan hanya akan putus sementara sekiranya pihak berkuasa giat melakukan operasi dan serbuan di kedai runcit namun situasi terputus bekalan rokok seludup biasanya tidak lama,” katanya.

Menjawab soalan wartawan, Zaki mengakui lambakan rokok seludup dalam pasaran dengan harga serendah RM3.50 hingga RM7 sekotak membuka ruang kepada remaja termasuk pelajar sekolah untuk membeli rokok seludup.

“Saya sedar, rokok seludup yang murah harganya ini menjadi pemangkin kepada golongan remaja mula merokok. Bab ini kerajaan perlu ambil serius,” katanya.

Berdasarkan tinjauan pendapat itu, tidak hairanlah statistik dilaporkan Euromonitor International iaitu agensi kajian pasaran global berpangkalan di London, United Kingdom (UK) menunjukkan bahawa Malaysia menduduki carta teratas dunia dalam pasaran rokok seludup iaitu membabitkan 63 peratus penembusan pasaran.

Sikap segelintir perokok mengambil mudah isu berkaitan seperti efek kesihatan iaitu tiada badan menyelia kandungan rokok seludup hingga merisikokan perokok, menyokong sindiket jenayah antarabangsa dengan membeli rokok seludup, kerugian kepada kerajaan sehingga hampir RM6 bilion setahun cukai tidak terkutip selain penguatkuasaan lemah menyebabkan isu rokok seludup gagal diselesaikan.

Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan berkata integriti adalah isu utama terjadinya keadaan itu.

“Mereka yang menghisap rokok seludup kebanyakannya sedar bahawa perbuatan itu menyalahi undang-undang. Harga yang mereka bayar untuk sekotak rokok seludup adalah lebih rendah dengan bersekongkol sindiket menipu kerajaan.

“Perbuatan ini secara langsung menipu cukai kerajaan dengan mengelakkan cukai dan secara tidak langsung turut menipu rakyat yang memerlukan hasil cukai itu untuk pembangunan.

“Jadi, perbuatan ini boleh dianggap sebagai pengkhianatan kepada negara,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 10:00am
d