utama

Aduh, sakitnya...

Oleh Alias Abd Rani

“WAKTU itu, mukanya kebiruan manakala suaranya tidak kedengaran. Tangan saya menggigil bila melihat darah tidak berhenti keluar dari mulutnya.”

Demikian kata Nur Hidayah Baharom, 32, ibu kepada Nur Alisha Safiya Mohd Khairul Anuar, 2, selepas wisel gegulung digunakan ketika menyambut hari lahir tercucuk dalam mulutnya, semalam.

Kejadian berlaku pada 7.45 pagi di rumahnya di Masai, Johor ketika anak bongsu daripada tiga beradik itu bermain wisel diperoleh dari jiran yang kebetulan menyambut hari lahir.

Nur Hidayah berkata, Nur Alisha bermain di hadapannya sambil meniup wisel berkenaan dan kanak-kanak itu seolah-olah mahu memeluknya.

“Belum sempat memeluk, dia terjatuh dan tersembam di bantal dengan mainan itu tercucuk dalam mulutnya. Saya terus mengangkat dia yang dipenuhi darah lalu membawa ke Klinik Kesihatan Luar Mahmoodiah.

“Sebenarnya, mainan itu dia dapat dari majlis hari lahir jiran sehari sebelum kejadian. Ketika kejadian, saya, suami serta adik beradiknya lain ada di rumah,” katanya ketika dihubungi.

Kejadian itu dimuat naik dalam Facebook Nur Hidayah sebagai pengajaran kepada ibu bapa supaya tidak leka jika anak bermain mainan itu.

Menerusi hantaran itu, Nur Hidayah memberitahu: “Bismillahirrahmanirrahim, untuk pengajaran buat saya dan ibu bapa di luar sana supaya tidak leka, apa pun yang anak kita pegang atau main, kena lihat boleh terjadi tercucuk di mata, hidung.

“Seperti sekarang yang terjadi pada anak saya sendiri, apa-apa tujuan saya update (kemaskini) cerita ini hanya untuk dijadikan peringatan, pengajaran dan pengalaman agar lebih berhati-hati untuk masa depan anak.

“Saya tak pandai nak bercerita panjang, saya cuba ringkaskan ceritanya, anak saya Nur Alisha Safiya Mohd Khairul main benda yang ditiup ketika besday parti (majlis hari lahir), dia letak kat (dekat) mulut sambil tiup-tuip dan terjatuh tersembam.

“Tercucuk termasuk dalam mulut koyak, berlaku depan mata saya sendiri, darah banyak tak berhenti, saya dah gigil tengok darah banyak tak berhenti, suara dia tak ada nangis sampi muka biru, basuhkan muka dia, bagi dia minum air sejuk, bila dah berhenti darah tengok koyak besar, bergegas ke hospital terus doktor buat surat ke pakar.

“Doktor terus hantar ke pakar, tanya untuk buat jahitan, saya yang salah, tapi jadi peringatan dan pengajaran untuk ibu bapa di luar sana, maaf bukan untuk meminta simpati atau buka aib sendiri, kita ingat untuk happy (gembira) anak main, walaupun hanya straw (penyedut) pun boleh jadi macam ini dan sebelum saya mengakhiri ringkas cerita saya minta doakan untuk anak saya cepat sembuh.”

Nur Hidayah berkata, keadaan anaknya semakin pulih selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan dibenarkan pulang hari ini.

“Alhamdulillah dia sudah semakin pulih, cuma kena makan makanan lembut seperti bubur,” katanya.

Disiarkan pada: November 26, 2019 @ 8:41pm
d