utama

'Jadi ibu tunggal bukan masalah'

Oleh Norhayati Nordin

TEMPOH 23 tahun bergelar ibu tunggal jelas menunjukkan Nor Albaniah, 49, cekal dan tidak ‘tercari-cari’ pengganti teman hidup.

Meskipun tidak pernah menutup pintu hatinya untuk menerima cinta baharu, soal jodoh diserahkan sepenuhnya kepada Allah.

Nor Albaniah yang popular sekitar era 1990-an, pernah mendirikan rumah tangga bersama pelumba kereta, Sudarman Daud pada 1993.

Namun, jodoh tidak panjang apabila suaminya meninggal dunia dalam kemalangan dialami mereka pada 1996.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan dikenali sebagai Syarra, 24.

Menurut Nor Albaniah, anak tunggalnya juga tidak pernah menghalang dia berkahwin lagi.

Katanya, dia mahu berkahwin kalau ada jodoh. Namun, hingga kini jodoh belum berpihak kepadanya.

“Bagi saya, kalau Allah sudah tetapkan mesti ada. Bagaimanapun, saya tidaklah terlalu mengharap. Kalau ada jodoh, adalah.

“Saya pun sebenarnya tak serik untuk berumah tangga. Namun, sayangnya sampai sekarang belum bertemu calonnya.

“Untuk saya, menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal pun bukan satu masalah. Saya sudah selesa,” katanya.

Pada era 1990-an lalu, Nor Albaniah cukup dikenali menerusi filem Adik pada 1990 dan Jeritan Batinku (1994).

Mengulas karier lakonannya, pemilik nama sebenar Nor Albaniah Raffie itu berkata, dia bersyukur masih mendapat tawaran berlakon.

Katanya, biarpun kini persaingan sesama pelakon agak sengit, dia sentiasa percaya pada rezeki.

“Apatah lagi, saya tidak bersikap terlalu memilih watak. Asalkan sesuai dan kalau babak sedikit pun saya terima.

“Bagi saya, paling utama watak dilakonkan u mempunyai impak walaupun sebagai ibu yang buta,” katanya.

Katanya, sebagai pelakon, tidak menjadi masalah besar baginya walaupun sering disogok watak sama.

“Dalam soal ini, kreativiti sangat penting. Ditambah, dengan pengalaman yang sudah lama dikumpul ia pasti akan banyak membantu,” katanya.

Masih menerima tawaran berlakon filem, Nor Albaniah berkata, rezeki yang ada membuatkannya bersyukur.

Katanya, ketika muda dahulu dia sudah puas dengan watak dilakonkan. Sekarang, perlu sedar hakikat, hidup ini ibarat roda.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 5:15am
d