utama

Rampas biji kopi RM4.3 juta

Oleh Nur Lela Zulkipli

PELABUHAN KLANG: Sebanyak 32 kontena mengandungi biji kopi import bernilai RM4.3 juta dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin
dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) pada 21 dan 23 November lalu.

Pengarah Maqis Selangor dan Negeri Sembilan, Dr Tarmisal Alimin berkata, hasil pemeriksaan mendapati barang dagangan dari Indonesia itu tidak mematuhi syarat import seperti dinyatakan dalam import permit.

“Operasi dilakukan selama dua hari iaitu pada 21 dan 23 November dan dagangan berkenaan dianggarkan bernilai RM4.3 juta seberat 2.7 tan.

“Dagangan berkenaan sudah ditahan dan disita bagi tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 Akta 728.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 15 (2) akta sama iaitu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 dan penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, Maqis sentiasa komited menjalankan pemeriksaan bagi kemasukan setiap keluaran pertanian ke Malaysia.

“Kita akan memastikan setiap barang dagangan adalah bebas perosak yang boleh membahayakan dan melumpuhkan industri pertanian negara,” katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 10:00am
d