utama

Mengamuk nak jadi imam

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

LELAKI bertindak agresif dan membuat kacau selepas ‘hasratnya’ untuk menjadi imam di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, semalam, tidak dibenarkan pengurusan masjid berkenaan.

Dalam kejadian 3.45 petang itu, suspek yang berusia 40 tahun yang dipercayai tidak siuman itu dikatakan pergi ke ruang solat dan berkata mahu menjadi imam kepada jemaah yang berada di masjid itu.

Bagaimanapun, jemaah dan pihak pengurusan masjid tidak membenarkannya dan menyebabkannya mengamuk dan terpaksa ditenangkan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, pihaknya mendapat aduan mengenai kejadian itu daripada jemaah masjid berkenaan sebelum dua anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik anggota kita tiba, pihak pengurusan masjid menyerahkan suspek yang berada dalam keadaan tidak waras dan agresif untuk tindakan selanjutnya.

“Kita membawa suspek yang beralamat di Alor Akar itu ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan doktor mendapati suspek tidak siuman dan ditahan di Wad Dahlia (Psikiatri) HTAA pada 11.40 malam untuk rawatan lanjut.

“Kita sudah maklumkan mengenai perkara itu kepada keluarga suspek,” katanya.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 10:28am
d