utama

Murid maut leher terjerut baju hujan

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

MURID Tahun Empat maut apabila lehernya terjerut baju hujan dipakai selepas ia tersangkut pada bahagian ‘sprocket’ (gegancu) motosikal diboncengnya, hari ini.

Kemalangan berlaku pada 10.15 pagi di Kampung Gong Tanah Merah, Jertih ketika mangsa, Tuan Nur Irdina Najwa Tuan Rosli, 10, membonceng motosikal Honda RS150R ditunggang ibu saudaranya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad, berkata sebelum kejadian mangsa menemani ibu saudaranya berusia 31 tahun untuk ke satu majlis dan mereka dalam perjalanan ke Kampung Darau dari arah Kampung Gong Nering, di sini.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba baju hujan dipakai mangsa tersangkut pada bahagian ‘sprocket’ belakang motosikal menyebabkan mangsa jatuh ke atas jalan.

“Baju hujan dipakai kemudian menjerut bahagian leher mangsa dan Tuan Nur Irdina disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penunggang motosikal itu tidak cedera,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat parah di leher.

Sementara itu, nenek mangsa, Haminah Awang Ahmad, 67, berkata Tuan Nur Irdina yang dipanggil Wawa adalah anak sulung daripada tiga beradik dan menetap bersama keluarganya di Jeli, Kelantan, baru pulang ke kampung itu sempena cuti persekolahan.

“Ketika kejadian saya tiada di rumah kerana mengikut ibu arwah menyelesaikan urusan keluarga di Kampung Raja. Disebabkan itu arwah mahu mengikut ibu saudaranya keluar pagi tadi.

“Tidak sangka pula kejadian ini berlaku. Apapun kami reda. Wawa anak yang sangat baik, sangat rajin solat. Malam tadi dia mahu tidur bersama makciknya, tetapi saya pujuk tidur bersama saya dan pagi dia bangun awal solat Subuh.

“Malam kelmarin dia ikut saya solat tahajud. Wawa anak yang mudah mendengar nasihat dan sangat menjaga solat sejak berusia tujuh tahun.

“Saya sering hadiahkan telekung padanya supaya dia rajin dan bersemangat jaga solat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Tanah Merah, hari ini.

Haminah berkata, setiap kali Wawa balik ke kampung, sepupu sebayanya akan rajin mengikutnya menunaikan solat.

“Wawa suka bentang sejadah untuk berkongsi dengan sepupunya yang lain dan dia sendiri tahu kewajipan solat setiap waktu tanpa perlu disuruh.

“Kehilangan arwah amat dirasai kerana dia seorang yang ceria, banyak cakap dan rapat dengan semua adik beradik, sepupu dan saudara mara,” katanya.

Jenazah Wawa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kayu Kelat, Jertih selepas solat Asar hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 8:24pm
d