utama

Merintih luah kesakitan

Oleh Nur Lela Zulkipli

“SAYA merayu kepada semua rakyat Malaysia supaya mendoakan anak saya cepat sembuh dan tidak perlu lagi menanggung kesakitan yang dialaminya kini.”

Itu luah Shahidatul Akma Sharin, 26, yang tersentak naluri keibuannya apabila setiap kali anak tunggalnya Muhammad Awal Neddim Muhammad Shahril, 4, merintih kesakitan.

Muhammad Awal Neddim menderita Hemangioma (Venous Malformation) iaitu sejenis penyakit salur darah tersumbat.

Menurut Shahidatul Akma, jari kelingking kanan anak kesayangannya itu mulai membengkak dengan mendadak sejak dua bulan lalu dan kerap sakit.

“Anak saya sudah menghidap penyakit ini sejak dia berusia lapan bulan lagi dan kami sentiasa ke hospital bagi rawatan susulan.

“Namun, sebelum ini anak tidak mengadu sakit dan saya fikir ia akan hilang dengan sendiri.

“Tanpa disangka semuanya berubah apabila jari anak membengkak dengan mendadak sehingga sebahagian besar tapak tangannya bertukar biru dan menyakitkan.

“Hinggakan anak saya bertanya bila tangannya akan dipotong kerana dia tidak tahan lagi dengan kesakitan yang ditanggung.

“Saya hanya mampu sapukan minyak bidara dengan harapan kesakitan itu hilang,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Jeram, hari ini.

Katanya Shahidatul Akma lagi, dia sedih apabila melihat anaknya tidak mampu bermain seperti kanak-kanak sebaya yang lain dan hanya termenung dari jauh.

“Anak saya teringin untuk bermain basikal, namun keadaan tangannya membataskan pergerakan dan dia hanya mampu mengusung basikal.

“Dia beritahu saya ‘tidak mengapa mama, adik tak marah. Adik gembira dapat usung basikal’.

“Jika rakan sebayanya bermain permainan yang menggunakan tangan, anak akan gunakan mulut. Luluh hati saya melihat keadaannya begitu,” katanya.

Shahidatul yang juga suri rumah berkata, doktor yang merawat anaknya di Hospital Selayang tidak dapat memberikan jaminan sekiranya tangan anaknya boleh diselamatkan sekali gus terpaksa menanggung risiko kudung.

“Ya, sebagai seorang ibu tidak dinafikan saya tidak sanggup tangan anak dipotong. Tapi itu bukan keputusan saya, Allah SWT yang lebih berkuasa dan Maha Mengetahui.

“Jika saya halang sekali pun, anak saya yang terpaksa menanggung sakit. Namun, saya akan sedaya upaya mencari alternatif untuk menyelamatkan tangan anak supaya dia dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Katanya, dia tidak tahu apakah nasib yang bakal menimpa anaknya, namun dia percaya dengan kuasa doa dan berharap semua rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik untuk anaknya.

“Doa adalah senjata umat Islam. Saya percaya jika kita berdoa, Allah akan bantu. Walau dengan apa cara sekalipun, saya percaya Allah akan mendengar doa hamba-Nya yang memerlukan.

“Saya merayu tolonglah doakan anak saya. Saya betul-betul mahukan dia hidup senormal mungkin seperti kanak-kanak lain dan tidak perlu menghadapi ujian seberat ini," katanya.

Katanya lagi, dia turut kesal apabila terdapat pihak yang sengaja mengambil kesempatan ke atas penderitaan Muhammad Awal Neddim dengan menjual makanan kesihatan tambahan kepadanya seolah itu adalah penawar kepada penyakit berkenaan.

Penderitaan adik Muhammad Awal Neddim turut mendapat perhatian ramai, termasuk pakar perubatan dari Hospital MSU selepas kisahnya tular di laman Facebook kelmarin.

Difahamkan, pakar perubatan daripada hospital berkenaan sanggup menanggung keseluruhan kos rawatan kanak-kanak berkenaan dan akan berjumpa dengan keluarga berkenaan pada Isnin depan.

Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi Shahidatul Akma di talian 016-2802454.

Disiarkan pada: November 27, 2019 @ 10:00pm
d