utama

Ibu Adib belum tenang lagi

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

ALOR SETAR: “Sedikit pun saya tidak pernah lupa apa yang berlaku pada arwah meskipun sudah setahun berlalu,” kata ibu Muhammad Adib, Asma Aziz, 52.

Asma berkata, dia belum tenang kerana kes berkenaan belum dapat diselesaikan hingga ke hari ini.

“Rasa geram kerana ia sudah lama, seolah-olah tiada tindakan selepas keputusan inkues September lalu.

“Saya tetap berharap pembunuh Adib dibawa ke muka keadilan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tebengau Tepi Laut, Kuala Kedah, semalam.

Sehingga kini, dia dan keluarga meletakkan harapan tinggi meskipun belum menerima perkembangan terkini mengenai pembunuh anaknya itu.

“Setakat ini, saya belum terima apa-apa perkembangan daripada mana-mana pihak namun saya dan keluarga berharap pembunuh Adib dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Setakat ini, polis mengenal pasti tujuh saksi utama yang dipercayai berada di lokasi ketika kejadian.

Semua mereka dilaporkan menjalani ujian poligraf bagi membantu siasatan.

Muhammad Adib, 24, anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) BBP Subang Jaya parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, di sini, pada 27 November tahun lalu.

Beliau disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu selepas 21 hari menerima rawatan.

Susulan itu, Peguam Negara mengarahkan majistret membuat inkues bagi menentukan sebab kematian mangsa pada 27 Disember lalu.

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan bapa Allahyarham, Mohd Kassim Abdul Hamid dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.

Pada 27 September lalu, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan punca kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Pada 9 Oktober lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, dua saksi pakar akan dipanggil bagi membantu siasatan polis berhubung kematian Adib.

Mereka ialah Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dan Pakar Fizik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Disiarkan pada: November 28, 2019 @ 5:50am
d