utama

Air mata tidak tertahan [METROTV]

Oleh Amirul Haswendy Ashari

KUALA LUMPUR: Dikurniakan 13 cahaya mata namun lima daripada mereka menghidap pelbagai komplikasi penyakit termasuk mental, psoriasis kronik, jantung dan barah.

Itulah dugaan ditanggung Salmah Mat Hasan, 49.

Lebih perit, Salmah sendiri disahkan menghidap barah tulang manakala suaminya, Ibrahim Mohamad, 59, menderita kecederaan tulang belakang, tekanan darah tinggi dan masalah jantung, sekali gus membataskan usaha mencari rezeki untuk keluarga.

“Suami tidak mampu bekerja sehingga kini dan sering terlantar di katil selepas dirempuh kereta ketika memotong rumput sekitar tahun 2000 yang mengakibatkan tulang belakangnya cedera.

“Bagi menampung kehidupan, kalau ada modal dan kesihatan tidak terganggu, saya ambil tempahan buat kuih-muih untuk dijual,” kata Salmah.

Salmah dan suami menetap di PPR Batu Muda, Jalan Ipoh bersama sembilan anak dan enam daripada mereka masih bersekolah menerima bantuan Baitulmal RM 500 sebulan.

Manakala tiga lagi anaknya berkahwin sementara seorang lagi duduk berasingan berada di bawah kategori asnaf dengan kehidupan ibarat kais pagi makan pagi.

Ada antara mereka berniaga nasi lemak dan gerai burger untuk menampung kehidupan.

Disebabkan itu, anak menantu tidak dapat membantu dari segi kewangan yang diperlukan Salmah.

Terbaru, seorang menantu parah apabila mata dimasuki besi ketika bekerja memotong rumput.

“Walaupun mendapat bantuan Baitulmal, kami masih bergantung kepada orang ramai yang sudi memberi sedekah, membayar fidyah dan zakat. Rezeki kami setakat apa yang ada.

“Sebelum sakit, saya ada berniaga kuih-muih depan bank setiap hari,” katanya.

Dek kehidupan sukar, Salmah akui seringkali menitiskan air mata dalam doa dan solat istiqarah dengan harapan Allah membuka hati insan yang sudi membantu.

Dalam tangisan, dia sering terfikir mengenai keterpaksaan berhutang dengan orang sekeliling selain memikirkan masa depan anak-anak.

“Saya tiada adik-beradik yang boleh membantu. Mak ayah pun sudah lama meninggal dunia. Kami hanya mampu bersabar saja apabila diduga seperti ini.

“Anak yang menghidap psoriasis ada cuba mencari kerja, namun tiada yang mahu mengambil dia bekerja di dalam pejabat melainkan kerja di bawah terik matahari.

“Dalam keadaan sakit kulitnya, dia tidak boleh bekerja bawah panas, kecuali dalam pejabat manakala seorang lagi ada masalah mental dan perlu pemantauan keluarga,” katanya.

Salmah bersyukur kerana setakat ini makanan belum putus kerana ada saja insan yang sudi menyumbang keperluan asas.

Masalah utama mereka hanya kekangan kewangan saja yang digunakan untuk rawatan anak-anak, suami dan diri sendiri.

Selain itu, dia berharap ada pihak sudi memberi bantuan berniaga supaya dapat mengurangkan beban ditanggung.

Disiarkan pada: November 28, 2019 @ 6:01am
d