utama

Lelaki hilang ditemui sahut suara anak

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

CHUKAI: Usaha seorang anak memanggil nama bapanya menggunakan pembesar suara membuahkan hasil apabila berjaya menemui lelaki terbabit yang dilaporkan hilang di kawasan hutan di Jalan Batu Putih-Rasau di sini, sejak 22 November lalu.

Mangsa, Zulkifli Mohd Hussin, 59, yang tinggal di Bandar Permaisuri, Setiu, ditemui pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 9.45 pagi semalam pada jarak 800 meter dari sebuah pondok milik rakannya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa berada dalam keadaan selamat namun keletihan sebelum dia dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

“Hasil siasatan awal, mangsa mendakwa dia terdengar seakan-akan ada orang mengejarnya sebelum dia melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.

“Mangsa memaklumkan ada ternampak pasukan SAR, kelmarin, namun dia tidak berani keluar dan menyorok.

“Hari ini (semalam), kita meminta bantuan anak perempuannya untuk turut serta dalam SAR dan usaha memanggil nama bapanya membuatkan lelaki itu membalas sahutan.

“Dengan berpandukan suara itu, kita berjaya menemui mangsa yang berada dalam keadaan kelaparan dan kesejukan di dalam kawasan semak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Hanyan berkata, mangsa bernasib baik apabila pengalamannya yang pernah bekerja di kawasan pembalakan membolehkan dia bertahan walaupun ketiadaan sumber makanan dan minuman.

“Dia nampak letih dan kelaparan tetapi berjaya bertahan dengan minum air hujan dan lenjun dibasahi hujan,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Zulkifli yang juga seorang pengawal keselamatan gagal dihubungi anak perempuannya sejak 23 November lalu sebelum wanita itu membuat laporan di Balai Polis Penarik, Selasa lalu.

Mangsa sebelum itu memaklumkan mahu pergi ke Kerteh, Kemaman untuk berjumpa dengan rakannya sebelum keluar dengan memandu kereta Nissan Grand Livina pada 20 November lalu.

Disiarkan pada: November 29, 2019 @ 5:40am
d