utama

Dua beradik tak jadi nikah malam ni...

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

“JIKA diikutkan, malam ini majlis akad nikah kami dua beradik di Masjid Kampung Bukit Payong, Jertih tetapi terpaksa ditangguhkan kerana bakal pengantin lelaki terkandas dalam banjir,” kata Siti Rokiah Ismail.

Siti Rokiah, 27, baru pulang ke kampungnya dari Puchong, Selangor, kelmarin untuk melangsungkan majlis perkahwinan bersama pasangan, Jun Endri Salwadi, 27, berasal dari Muadzam Shah, Pahang.

“Kami sudah rancang majlis kenduri sejak awal tahun lagi dan tidak sangka tahun ini banjir besar pula selepas dua tahun kampung kami tidak dinaiki air.

“Rombongan pengantin lelaki baru bertolak hari ini dari Pahang sepatutnya bermalam di inap desa Kampung Darau, tetapi terkandas di Kampung Gong Duek,” katanya yang ditemui di rumah keluarganya di Kampung Bukit Payong, Jertih, hari ini.

Siti yang juga anak kesembilan daripada 13 beradik berkata, kemungkinan akad nikah akan ditangguhkan sehingga banjir pulih.

Sementara itu, adiknya, Nurul Jannah Ismail, 25, berkata dia pulang seminggu awal dari Shah Alam, Selangor untuk melakukan persiapan perkahwinan bersama pasangan, Muhamad Faizal Nawang, 25, seorang jurutera dari Kampung Panchor, Besut.

“Segala persiapan kenduri sudah siap sepenuhnya, tetapi rombongan bakal pengantin lelaki tidak boleh datang ke sini kerana laluan terputus dan hanya boleh dilalui menggunakan bot.

“Perasaan saya bercampur baur kerana kami baru kematian ibu, Siti Asahah Mohamed, 60, akibat sakit jantung pada 23 Oktober lalu dan kini majlis kahwin pula tertangguh disebabkan banjir,” katanya yang bekerja di syarikat swasta.

Bapa pengantin, Ismail Mahmood, 63, berkata jemputan majlis kenduri dilakukan sejak tiga minggu lalu dan majlis sepatutnya dijadualkan berlangsung esok.

“Tetapi disebabkan banjir, majlis ditangguhkan dahulu dan jemputan memahami kami tidak dapat melangsungkan kenduri kerana banjir.

“Kami mungkin mengadakan majlis akad nikah dahulu dalam masa terdekat bergantung pada keadaan banjir dan kenduri kahwin ditangguhkan ke satu masa lain.

“Jika diikutkan banjir paling besar di sini berlaku pada 2000 dan kali ini pula kemungkinan banjir besar berulang kerana hujan tidak berhenti sejak awal pagi,” katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2019 @ 8:28pm
d