utama

Setahun selam 70 kali

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

BELUM sampai setahun bergiat dalam sukan menyelam skuba, seorang bapa 14 anak ini boleh dianggap luar biasa apabila menyelam lebih 70 kali di semua lokasi menarik di negara ini.

Hanya dalam tempoh lima bulan, Fazil Mohd Dali, 44, dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur, menyelam di Pulau Perhentian, Pulau Tenggol, Pulau Lang Tengah di Terengganu selain Pulau Simpadan, Sabah, dan Pulau Aur Dayang, Johor yang sukar dikunjungi orang ramai.

Fazil berkata, dia terlalu taasub dengan aktiviti lasak di dalam air itu sehingga ketagih menjalani aktiviti itu paling kurang dua kali sebulan.

“Jika tidak menyelam saya rasa tidak lengkap dan puas. Apabila tidak menyelam di laut, saya ke kolam latihan menyelam untuk aktiviti berkenaan.

“Saya tidak kisah berbelanja lebih asalkan mendapat kepuasan. Aktiviti menyelam memberi ketenangan selain menikmati keindahan alam semula jadi dan hidupan di laut, malah ia juga mendorong saya berfikir mengenai kebesaran Allah, seterusnya mendekatkan diri kepada-Nya,” katanya di Pulau Tenggol di sini.

Menurutnya, dia bergiat dalam aktiviti menyelam selepas mengikut rakannya dan sehingga kini semua ahli keluarga termasuk empat isteri iaitu Harlinda Suparman, 44, Suhana Mokhtar, 40, Nur Izzati Mad Wadzir, 33, dan Khairatul Azwa Khairul Anwar, 36, serta tiga anak berusia 12 hingga 18 tahun turut aktif menjalani aktiviti terbabit.

“Saya suka aktiviti bersama keluarga, semua anak didedahkan dengan aktiviti yang saya ceburi.

“Semua isteri dan anak juga perlu menjalani aktiviti ini bersama, sekali gus memupuk semangat serta keberanian mereka selain mengeratkan hubungan kekeluargaan.

“Saya bersyukur walaupun ini aktiviti lasak, tetapi diminati ahli keluarga,” katanya yang juga memiliki lesen menyelam tanpa oksigen (free dive).

Menurutnya, dia baru sahaja ke Pulau Maldives selepas semua pulau di negara ini ditutup kerana musim monsun timur laut.

“Sangat seronok menyelam di Pulau Maldives kerana berpeluang bermain dengan pelbagai jenis jerung.

“Walaupun kerap melakukan aktiviti itu tetapi hati belum puas dan bercadang menyelam di luar negara seperti Pulau Raja Ampat, Indonesia,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Nur Izzati, 33, berkata, dia dan suami ada lesen menyelam untuk ke dalaman 40 meter.

“Kami berkongsi minat sama, seterusnya mengeratkan hubungan kekeluargaan selain memupuk sifat berani,” katanya.

“Pengalaman paling tidak dapat dilupakan apabila kami pernah diserang trigger fish (ikan pakol) ketika menyelam serta dihanyutkan arus deras,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 6:00am
d