utama

'Tun suka susu kerbau'

Oleh Noorazura Abdul Rahman

SEORANG mekanik tidak pernah menyesal beralih ke bidang penternakan kerbau sejak 13 tahun lalu biarpun hanya dapat bercuti tiga hari setiap dua tahun.

Megat Izham Megat Hassan, 42, berkata, usaha menternak lebih 30 ekor haiwan berkenaan bukan untuk menjual dagingnya, sebaliknya itu lebih menjadi keutamaan selain sumber pendapatan tetap sebagai ketua keluarga.

Katanya, setiap pagi, dia memerah susu haiwan yang dibawa dari Pakistan dan India itu untuk dijual kepada pelanggan dari seluruh negeri itu.

“Kerja memerah susu kerbau tidak terlalu sukar kerana ia hanya perlu dimandikan antara 10 hingga 15 minit bagi setiap seekor sebelum proses memerah bermula, setiap kerbau betina mampu menghasilkan sehingga tujuh kilogram (kg) susu sehari bergantung kepada keadaannya.

“Jika haiwan ini bunting, selalunya dalam tempoh tiga hingga empat bulan sebelum ia beranak, kerbau betina ini akan terputus susu dan saya perlu menunggu sehingga ia beranak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lembah Arang, Wang Tepus di sini.

Bercerita lanjut, bapa kepada enam anak ini berkata, setiap bulan dia pernah memerah sehingga satu tan susu dan paling kurang adalah 300 kg sebulan.

Katanya setiap sekilogram susu segar kerbau itu dijual dengan harga RM13.

“Pelanggan saya dari seluruh Kedah, ada juga dari Pulau Langkawi yang mereka proses untuk dijadikan keju. Dahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah antara individu yang pernah membeli daripada saya, ada seorang pembantunya yang akan ke sini untuk membeli susu sapi segar.

“Katanya Tun suka minum susu kerbau bersama dengan kuih karas, tapi sekarang saya difahamkan Tun sudah mempunyai ladang menternak kerbau sendiri di Pulau Langkawi.

“Susu haiwan ini sangat sedap dan berkhasiat berbanding susu lembu, selain diminum begitu saja, masyarakat sekitar juga guna susu kerbau untuk menggantikan santan yang digaul dengan pulut sebelum dimakan dengan durian. Pada musim durian permintaan susu ini memang sangat tinggi,” katanya yang berpendapatan kira-kira RM5,000 sebulan.

Bagaimanapun, katanya, setiap bulan dia perlu membelanjakan kira-kira RM3,000 untuk membeli dan menyediakan makanan kerbau sapi itu.

Bagi menampung perbelanjaan, Megat turut akan menjual kerbau kepada sesiapa yang berminat untuk dijadikan baka dengan harga antara RM7,000 hingga RM15,000 seekor mengikut saiz dan jantina.

“Saya bercadang memperkenalkan kandang kerbau saya sebagai lokasi agro pelancongan berikutan saya turut memelihara 25 kambing serta 20 rusa.

“Saya harap usaha ini akan mendapat perhatian agensi kerajaan bagi memangkin ekonomi masyarakat setempat,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 7:00am
d