utama

Tak lena tidur

Oleh Mahaizura Abd Malik

LEBIH 200 penghuni Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai, dekat sini, sekali lagi diarah mengosongkan kediaman mereka selepas struktur bangunan itu semakin retak.

Ini kali kedua penghuni terbabit berbuat demikian sejak Mei lalu selepas pihak berkuasa mengarahkan blok itu dikosongkan tengah hari semalam atas faktor keselamatan.

Jamaluddin Ahmad, 48, yang menetap di tingkat tiga pangsapuri itu sejak 29 tahun lalu berkata, penduduk mengambil inisiatif sendiri menghubungi pihak berkuasa selepas mendapati rekahan bangunan itu semakin membimbangkan.

“Retak ini bermula sejak Ramadan lalu, tetapi tiada perubahan langsung walaupun kontraktor ada datang membaiki.

“Minggu lalu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga datang membuat penilaian bahawa pangsapuri ini masih selamat diduduki, tetapi makin hari makin teruk retaknya.

“Hari ini kami hubungi sendiri pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk melihat keadaan di sini,” katanya kepada Harian Metro.

Sebagai penghuni katanya, mereka bimbang sesuatu tidak diingini berlaku jika terus menetap di blok berkenaan.

“Saya ada anak dan emak yang sudah tua tinggal di blok sama.

“Kami minta jangan lakukan kerja pembaikan lagi kerana ia tidak banyak membantu sebaliknya binalah blok baru kerana ini soal keselamatan dan nyawa penduduk.

“Kita tidak mahu nanti ada kemalangan jiwa dan kecederaan baru hendak bertindak,” katanya.

Sementara itu, Naseri Abd Raif, 49, berkata, sehingga kini penduduk masih menanti pengumuman selanjutnya selepas diarahkan berpindah sementara ke dewan komuniti kawasan berhampiran.

“Kami tidak tahu lagi akan menetap di dewan ini berapa lama. Rumah saya memang retak seribu sana sini.

“Tempat retak ditampal kerap ada serpihan pasir jatuh kerana retak bergerak sedikit demi sedikit.

“Cukuplah, selama ini kami tidak lena tidur setiap malam kerana takut dan kebimbangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof memaklumkan pemeriksaan teknikal sedang dilakukan pihak PKNS bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Pihak bomba hanya mengarahkan pengosongan sementara untuk tujuan keselamatan dan pemeriksaan.

“Keputusan sama ada penduduk perlu pindah atau tidak akan dibuat Pegawai Daerah bergantung kepada fakta dan maklumat teknikal,” katanya.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 8:01am
d