utama

Pengesat air mata janda

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

SERING kali mendengar kisah penganiayaan dan pengabaian wanita tanpa pembelaan selepas diceraikan suami sehingga memberikan kesan emosi yang sangat teruk.

Ditambah pula kekurangan pengetahuan berkaitan perundangan syariah menyebabkan wanita terus ditindas dan terpaksa meneruskan kehidupan dalam kepayahan bersama anak-anak tanpa nafkah.

Melihat senario yang tidak berkesudahan ini mendorong sekumpulan 10 peguam syarie bekerjasama memberikan khidmat konsultasi percuma kepada wanita yang mempunyai masalah rumahtangga di Klinik Guaman Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Semua peguam ini adalah alumni Fakulti Syariah dan Undang-Undang universiti berkenaan.

Koordinator Klinik Guaman itu, Dr Norsuhaida Che Musa berkata, matlamat penubuhan klinik ini untuk memastikan wanita tidak terus melakukan kekhilafan dalam mengharungi kemelut rumah tangga kerana kekurangan maklumat dan nasihat perundangan.

Menurutnya, peguam di klinik berkenaan membantu wanita mengetahui hak, tindakan perlu dilakukan selepas diceraikan, merangka strategi untuk memudahkan permohonan atau tuntutan dan menggalakkan penyelesaian di luar mahkamah.

“Kira-kira 40 kes rumah tangga dirujuk di klinik ini dan lebih 50 peratus kes sudah difailkan ke mahkamah untuk perbicaraan sejak Mac lalu,” katanya.

Katanya, ada wanita yang datang ke klinik ini sudah lama memendam masalah rumah tangga kerana tidak mengetahui cara mendapatkan khidmat peguam.

“Selain itu mereka juga bimbang kos khidmat guaman yang tinggi, sedangkan mereka boleh menggunakan saluran seperti klinik ini,” katanya.

Tambahnya, keistimewaan ditawarkan di klinik itu ialah kos khidmat guaman memfailkan kes ke mahkamah adalah lebih rendah berbanding firma guaman lain.

“Malah, kami memberi khidmat pro bono iaitu khidmat guaman cara percuma kepada pelanggan mempunyai masalah kewangan.

“Setakat ini tiga kes khidmat pro bono dilaksanakan yang membabitkan suri rumah ditinggalkan suami tanpa sumber kewangan,” katanya.

Norsuhaida berkata, ramai wanita datang ke klinik ini dalam keadaan kemurungan kerana tertekan dengan masalah rumahtangga.

“Tetapi mereka mampu tersenyum selepas mengikuti sesi konsultasi di klinik ini.

“Wanita yang mempunyai masalah rumah tangga atau diceraikan perlu terlebih dahulu mendapatkan konsultasi guaman kerana ia boleh menjimatkan masa dan kos mereka,” katanya.

Peguam Syarie Abdul Muim Abdullah berkata, peguam yang terbabit dalam klinik berkenaan adalah kalangan peguam muda yang baru memulakan kerjaya itu dalam tempoh perkhidmatan kurang lima tahun.

“Peguam muda memerlukan banyak kes untuk mempelajari ilmu dan selok belok mengendalikan kes di mahkamah.

“Ilmu dan pengalaman ini sangat penting sebagai persediaan mengendalikan kes yang lebih besar serta meningkatkan prestasi kerjaya,” katanya.

Selain itu, Abdul Muim berkata, seramai 15 penuntut terdiri daripada lapan penuntut jurusan undang-undang sivil dan tujuh penuntut jurusan undang-undang syariah menjadi jawatankuasa khas di klinik berkenaan.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 9:00am
d