utama

'Kepala angin' badai pekan Parit Jawa [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

HUJAN serta angin kencang melanda pekan Parit Jawa, Muar kira-kira 3 petang semalam merosakkan bumbung serta struktur lebih 100 kediaman penduduk.

“Parit Jawa kena ‘kepala angin’,” kongsi pemilik akaun Facebook (FB) Johor Darma Tingkes berhubung video kemusnahan akibat angin kencang itu.

Pemilik akaun FB terbabit, Mohd Shazuan Sariman, 32, berkata, dia berkongsi video pendek yang dikongsikan rakannya menerusi WhatsApp, 5 petang semalam.

“Melihat kepada kesan kerosakan pada struktur bumbung, ia adalah kejadian ‘kepala angin’ dan pertama kali berlaku di kawasan ini.

“Hanya nelayan atau ‘orang laut’ dan penduduk tempatan saja tahu istilah itu dan ia dari angin barat,” katanya yang tinggal di Parit Bulat, Muar.

Menurutnya, kedudukan pekan Parit Jawa dan Jeti Parit Jawa, kira-kira dua kilometer.

“Bayangkan bagaimana kuatnya angin dibawa, bahkan banyak bumbung penduduk musnah diterbangkan angin.

“Kesan kerosakan masih boleh kelihatan pagi ini apabila banyak bumbung bangunan rosak teruk terutama di kawasan pekan Parit Jawa,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga sayur, Koo Son Meng, 64, berkata, dia membuat laporan polis di Balai Polis Parit Jawa susulan kejadian ribut yang memusnahkan bumbung rumahnya.

Katanya, kejadian 3.30 petang itu mengakibatkan bahagian dapur rumahnya serta beberapa bahagian lain dibasahi air hujan.

“Ini kejadian paling dahsyat sejak menduduki di Jalan Mahmood Parit Jawa, 40 tahun lalu.

“Ribut dan angin kencing beserta hujan lebat memusnahkan bahagian bumbung rumah kami serta jiran tetangga,” katanya yang juga peniaga sayur.

Terdahulu video itu memperlihatkan kesan kerosakan bumbung serta kenderaan di pekan Parit Jawa semalam.

Bahkan tular banyak kerosakan dikongsi warganet sejak semalam membabitkan kejadian ribut beserta angin kencang yang membadai pekan terbabit.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 1:25pm
d