utama

Cikgu malang rugi RM25,000

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

TINDAKAN seorang guru wanita meninggalkan beg tangan di dalam kereta menyebabkannya kerugian RM25,000 apabila cermin kenderaannya dipecahkan dan beg tangan itu dilarikan penjenayah.

Dalam kejadian 6.30 petang Rabu lalu, mangsa singgah di Masjid Kampung Penarik, Permaisuri, Setiu, untuk solat Asar dan meletakkan keretanya di pekarangan masjid.

Sumber berkata, sebaik selesai solat dan kembali ke keretanya, mangsa berusia 44 tahun dari Pahang terkejut mendapati cermin hadapan kereta sebelah penumpang dipecahkan.

“Mangsa kemudian memeriksa kenderaannya dan mendapati beg tangan berisi pelbagai dokumen penting dan barangan berharga dilarikan pencuri.

“Berikutan kejadian, mangsa kerugian dianggarkan RM25,000 apabila barangan kemas seperti dua gelang emas, satu rantai emas, dua cincin emas, sepasang subang emas dan loket emas dianggar bernilai RM20,000 lesap.

“Mangsa turut kehilangan wang tunai RM2,000, selain jam tangan berjenama, telefon bimbit dan pelbagai dokumen termasuk kad pengenalan, sijil lahir anaknya dan kad pengeluaran wang automatik (ATM),” katanya.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Penarik untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Beliau menasihatkan orang ramai terutama wanita supaya tidak cuai dengan meninggalkan beg tangan atau barangan berharga di dalam kereta yang boleh menyebabkan kenderaan dipecahkan penjenayah.

“Kadang-kala mereka tidak sedar tindak tanduk diperhatikan penjenayah lalu merasakan selamat untuk meninggalkan beg tangan atau barangan berharga di dalam kereta.

“Justeru kami menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan keselamatan diri dan barangan mereka.

“Jangan tinggalkan beg tangan atau barang berharga di dalam kereta walaupun di bawah tempat duduk kerana ia boleh mengundang kegiatan jenayah yang tidak disedari,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Disiarkan pada: November 30, 2019 @ 7:13pm
d