utama

Man Gerek kongsi tip

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

“KEMBARA ini memerlukan pengorbanan masa dan tenaga, secara jujurnya jika kita lakukan sesuatu yang ikhlas kerana Allah, dan minat, insya-Allah kita tidak akan rasa kecewa,” kata Suliman Abd Lah.

Suliman, 49, atau dikenali sebagai Man Gerek berkata demikian selepas berjaya menghabiskan misi kayuhan solo Kembara Masjid di Jepun 2019 bermula 9 hingga 27 November lalu.

Katanya, beliau membuat persediaan mental dan fizikal selain kewangan buat ahli keluarga yang ditinggalkan selain turut berkongsi tip bagi menjaga kesihatan sepanjang misi itu.

“Dari segi tenaga itu, ada beberapa surah yang perlu dibaca, pertama surah Hud ayat 52 yang bermaksud Allah menambahkan kekuatan atas kekuatanmu, itu satu ayat yang selalu saya baca dan insya-Allah kita mempunyai kekuatan dalaman untuk berkayuh.

“Alhamdulillah saya dijodohkan dengan isteri Malini Abu Bakar, beliau setakat ini memberi banyak dorongan dan disebabkan minat saya yang mendalam dalam dunia basikal, hampir 34 tahun beliau tidak pernah menghalang tujuan saya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, dia mahu menyampaikan mesej bahawa manusia perlu saling mengenali meskipun berbeza budaya dan agama selain menjadi tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan Muslimah supaya sentiasa memakmurkan rumah Allah.

“Alhamdulillah ramai pengikut di laman sosial dan ramai pembaca Harian Metro baru sedar banyaknya masjid di Jepun dan diimarahkan oleh orang seperti Sri Lanka, Pakistan, Indonesia dan Malaysia.

“Pada saya pula, setiap kali apabila tiba di masjid yang ditujui, itulah kenangan cukup manis, Alhamdulillah ia satu penantian setiap hari, masjid itu diketahui di Internet dan mudah dicari walaupun jauh dari jalan utama,” katanya.

Beliau turut mengajak anak muda menggunakan minat masing-masing untuk berdakwah dengan cara mengunjungi dan beriktikaf di rumah Allah.

“Lakukan apa yang kita suka dan keduanya sesuatu yang mustahil ini akan menjadi luar biasa jika dengan izin Allah, insha-Allah boleh berjaya.

“Berdakwahlah melalui pelbagai cara termasuk motosikal dan kereta, dengan mengunjungi masjid ke masjid, tidur di masjid dan berdakwah di sana, dan bersemangatlah dalam berusaha.

“Sesuatu yang kita rasa tak yakin pada diri, ketepikan, usaha tawakal dan berdoa kepada Allah, kerana apabila kita berusaha dan bertawakal sepenuh-penuhnya, inhsa-Allah Allah akan, beri bantuan yang sebenarnya datang dari Allah, bukannya manusia, manusia itu asbab Allah yang tentukan,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2019 @ 6:00am
d