utama

'Bangunlah sayang...' [METROTV]

Oleh Suraya Roslan

“SAYANG kerja elok-elok, jaga diri, bi sayang sayang sampai bila-bila." Itu ungkapan seorang suami kepada isterinya, Balqis Saidi, 22, sebelum kemalangan yang akan diingati wanita itu sepanjang hayatnya.

Bukan saja itu, sebelum kemalangan, suaminya, Alif Iskandar Azlisham, 22, sempat mengucup dahi dan pipinya lama seperti kebiasaan.

Namun, siapa sangka takdir Ilahi, Alif Iskandar kini koma di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah selepas kemalangan di Lebuhraya Gurun menghala Pendang, semalam, 40 minit selepas menghantar Balqis di tempat kerja di Sungai Petani.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, Alif Iskandar yang menunggang motosikal menghala ke Songkhla, Thailand untuk urusan perniagaan dalam taliannya terlanggar belakang sebuah kereta yang berhenti di lorong kecemasan.

Balqis berkata, ketika ini, dia hanya mendoakan keajaiban untuk suaminya sedar dan pulih seperti biasa.

“Saya hanya nak dia bangun, saya rindu suami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tular gambar Alif Iskandar yang memegang kek ‘unicorn’ untuk membuat kejutan kepada isterinya sehari sebelum kemalangan serta rintihan Balqis yang meminta suaminya bangun daripada koma.

Balqis berkata, keadaan suaminya agak kritikal dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan.

“Suami belum sedar lagi dan patah tiga tempat di kaki kiri, kedua-dua tangan, tulang kedua-dua mata, hancur dagu dan luka rahang.

“Ketika ini, saya betul-betul mengharapkan doa orang ramai untuk suami bangun, hanya Allah tahu betapa saya rindu dengan suami dan harap ada keajaiban berlaku," katanya.

Menurutnya, dia tidak sangka sehari sebelum kemalangan suaminya membuat kejutan membawa kek ‘unicorn’ yang diingininya ke tempat kerja sempena ulang tahun kelahirannya.

“Tapi saya tidak sangka pula ada 'kejutan kedua' suami, namun kejutan ini tanpa senyuman dan suara suami.

“Saya menerima panggilan daripada ibu memberitahu suami kemalangan dan bergegas ke hospital, melihat keadaannya membuat hati saya sedih," katanya.

Balqis yang bekerja sebagai pembantu spa kecantikan berkata, tidak sangka hadiah ulang tahun kelahirannya tahun ini diwarnai dengan suka dan duka, lebih-lebih lagi usia perkahwinan mereka yang masih tidak sampai setahun.

“Saya berharap orang ramai dapat mendoakan suami saya sedar dan pulih seperti biasa, itu saja yang saya mahu ketika ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2019 @ 9:30pm
d