utama

Kecap kemanisan 2019

Oleh Najiy Jefri

TAHUN 2019 yang bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi meninggalkan 1,001 kenangan buat pengacara popular, Neelofa.

Jika dihitung perjalanan seni wanita berusia 30 tahun ini, 2019 lebih banyak memberi kemanisan buatnya.

Apa tidaknya, kejayaan demi kejayaan dilakar wanita jelita ini termasuk kejayaan di luar negara apabila memenangi anugerah Entrepreneur pada Influencer Awards 2019 Monaco di Monte Carlo, Monaco, Oktober lalu.

Mengakui 2019 bakal meninggalkan kenangan yang cukup indah, pengacara MeleTOP ini juga bersyukur setiap perkara yang dilalui sepanjang 2019 berjaya diharungi.

“Saya kira 2019 adalah tahun yang sangat menarik dan antara yang terbaik untuk diri saya.

“Pada usia 30 tahun ini, saya rasa bersyukur dengan setiap apa yang diharungi dalam hidup ini. Meskipun ada naik turun, perjalanan karier saya berjalan lancar di sebalik beberapa cabaran yang perlu ditempuhi dalam perniagaan yang diusahakan.

“Dari segi kehidupan peribadi dan keluarga, saya kira ceritanya lebih stabil serta berjalan dengan baik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi kasut kolaborasi bersama jenama antarabangsa, Giuseppe Zanotti di Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ditanya mengenai azam tahun baharu dan misi 2020, Neelofa berkata, tahun depan bukan waktu untuk dirinya berehat daripada industri seni.

Katanya, tahun depan dia bakal ke Indonesia untuk mengembangkan kerjaya seni.

“Jujur banyak benda baharu yang akan saya lakukan dalam hal kerjaya. Kemungkinan tahun depan saya akan fokus untuk mengembangkan karier seni di Indonesia.

“Jadi saya akan banyak menghabiskan masa di sana. Mungkin saya akan tinggal di Indonesia selama beberapa bulan untuk mengukuhkan nama terlebih dahulu.

“Saya juga belum pasti apakah yang bakal ditempuhi nanti tapi mengenali diri, saya akan redah dan mencabar kemampuan.

“Saya sukakan perasaan yang gementar dan berdebar untuk memulakan sesuatu perkara itu. Saya nak keluar daripada zon selesa. Doakan semoga karier saya di Indonesia mendapat tempat dan berjaya,” katanya.

Apabila ditanya pernahkah dia terfikir untuk tersenarai dalam individu terkaya di Malaysia, Neelofa mengakui tidak pernah terfikir ke arah itu.

“Saya selalu berdoa supaya sampai di tahap yang saya puas dan cukup dengan kejayaan serta rezeki diperoleh selepas berusaha keras dalam apa dilakukan.

“Saya bukanlah seorang yang mengejar sesuatu tanpa tiada titik noktah. Walaupun kebanyakan di luar sana begitu, saya nak ada masa untuk berehat dan beralih ke fasa baharu.

“Saya nak juga masa untuk diri seperti pergi bercuti, pelajari perkara baharu dan fokus dengan kehidupan keluarga,” katanya.

Kahwin

Beralih mengenai kehidupan peribadi, Neelofa mengakui tidak terburu-buru menamatkan zaman bujang sebaliknya percaya setiap yang berlaku ada hikmah.

“Melihat kembali kehidupan peribadi yang dilalui, saya sangat bersyukur apabila tidak tergopoh-gopoh nak kahwin.

“Bayangkan kalau kini saya sudah ada anak dan keluarga, barangkali banyak benda yang tidak boleh dicapai sekarang.

“Ini kerana saya seorang yang akan memberikan fokus terhadap keluarga. Mereka akan menjadi prioriti saya meskipun ada orang yang boleh membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga,” katanya.

Pada masa sama, Neelofa turut menolak khabar angin yang mendakwa dirinya bakal bertunang atau menamatkan zaman bujang tahun depan sebagaimana dikatakan sesetengah pihak.

Katanya, tiada sebarang perbincangan dilakukan membabitkan ahli keluarga mengenai perkara terbabit.

“Sejujurnya tiada apa-apa perbincangan membabitkan ahli keluarga mengenai ke arah itu. Cuma apa boleh saya kongsikan, adik dan sepupu sebaya yang bakal mendirikan rumah tangga tahun depan.

“Buat masa sekarang saya dalam perancangan mengembangkan kerjaya seni di Indonesia sekali gus menyangkal gosip yang timbul,” katanya.

Menurut Neelofa, gosip terbabit timbul kemungkinan disebabkan usianya yang kini menjangkau 30-an.

“Mungkin sebab umur saya sudah 30 tahun menyebabkan ramai yang membuat spekulasi.

“Tiada sebab untuk saya berahsia mengenai kehidupan peribadi. Kalau ada seseorang yang bertakhta di hati, saya akan kongsikan.

“Ini bukan zaman dulu nak sorok. Andai bakal melangkah ke fasa baharu saya akan kongsikan kepada khalayak,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kolaborasi dengan jenama kasut antarabangsa itu, Neelofa yang juga selebriti kedua Asia tampil dengan kerjasama itu meluahkan rasa syukur.

“Saya bersyukur dan teruja atas peluang serta rezeki ini. Ini adalah hadiah bermakna dalam hidup kerana saya adalah peminat jenama kasut ini dan sudah lama menggunakannya.

“Tak sangka peluang ini datang daripada pemilik jenama ini baru-baru ini,” katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 5:30am
d