utama

Padah nak langgar polis

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

PADAH cuba melarikan diri dan merempuh polis, remaja lelaki berusia 15 tahun cedera terkena tembakan di bahu kiri di Kedai Lalat di Kota Bharu, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.05 pagi itu, remaja berkenaan yang juga pemandu bersama dua rakannya berusia 15 dan 17 tahun menaiki Perodua Kancil.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, ketika anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu membuat rondaan, mereka terserempak dengan kereta dinaiki tiga remaja termasuk seorang remaja perempuan.

Katanya, MPV polis mengikut dari belakang dan anggota minta mereka berhenti tetapi tidak diendahkan.

“MPV mengikut mereka dalam jarak lebih satu kilometer dan sampai di lokasi secara tiba-tiba kereta itu membuat pusingan U untuk melarikan diri.

“Anggota kita mengejar dan memberi amaran supaya berhenti beberapa kali sebelum MPV melintas kenderaan suspek dan seorang anggota turun.

“Kereta terbabit cuba merempuh anggota polis sebelum anggota kita mengundur ke belakang dan terjatuh,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, hari ini.

Beliau berkata, anggota polis segera bangun untuk mengelak dilanggar dan pada masa yang sama kenderaan itu enggan berhenti.

Katanya, anggota polis melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar kereta bagi memberi amaran supaya mereka berhenti.

“Kereta itu cuba mengundur dan melarikan diri. Anggota kita memecahkan cermin bahagian pemandu kerana mereka enggan membuka pintu.

“Selepas dibuat pemeriksaan mendapati pemandu kereta cedera di bahu kiri dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk rawatan lanjut dan keadaannya stabil.

“Polis menahan tiga remaja itu dan masih membuat siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 11:52am
d