utama

'Kami dah berdamai'

Oleh Redzuan Muharam

“SEMUANYA sudah selesai. Kami sudah berdamai selepas meminta maaf antara satu sama lain semalam,” kata perunding hartanah, Shazmie Mohamad Nadziri, 26.

Shazmie menjelaskan kisah di sebalik gambar pertemuannya dengan pasangan suami isteri selepas insiden pergaduhan mereka di Jalan Raub-Bentong, Raub petang semalam.

Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas tular video berdurasi 42 saat yang menunjukkan pergelutan antara Shazmie dan pasangan berkenaan serta seorang lagi individu lelaki sebelum dileraikan rakannya.

Rakaman video berkenaan mengundang pelbagai reaksi warganet hingga segelintir membuat andaian sendiri dan menyebelahi sebelah pihak walaupun tidak mengetahui kejadian sebenar.

Shazmie ketika dihubungi hari ini berkata, insiden itu berlaku kira-kira 3 petang ketika dia memandu pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis perkahwinan rakannya di Raub.

Menurutnya, dia ditemani dua rakan ketika itu dan kejadian berlaku berpunca daripada mereka ‘berebut’ untuk masuk lorong.

“Jalan agak sesak pada waktu itu dan saya sudah memberi isyarat tetapi kereta terbabit juga mahu memasuki lorong sama.

“Saya beralah dengan memberi laluan kepada kereta berkenaan tetapi mereka memberhentikan kenderaan di hadapan selepas saya membunyikan hon.

“Tidak lama selepas itu, pemandunya yang juga wanita keluar dan tindakan saya menendangnya adalah reaksi spontan untuk mempertahankan diri selepas terlebih dahulu dikasari.

“Pergaduhan berlarutan dan kami turut perang mulut tetapi dileraikan rakan saya yang ada di situ sebelum masing-masing beredar,” katanya.

Menurut Shazmie, pada mulanya dia bercadang untuk membuat laporan polis tetapi membatalkan hasrat itu selepas pasangan suami isteri berkenaan bersetuju menyelesaikan hal itu dengan cara baik.

“Memang ada perancangan untuk membuat laporan polis selepas insiden terbabit memandangkan ada bukti rakaman video yang tular di media sosial tetapi saya tangguhkan hasrat itu.

“Bagaimanapun, saya dihubungi oleh suami wanita berkenaan dan dia mengajak untuk bersemuka bagi menyelesaikan hal itu.

“Lelaki berkenaan datang bersama isterinya dan dalam pertemuan selama sejam itu, kami mengakui kesalahan masing-masing serta bermaafan,” katanya.

Menurut Shazmie, tiada guna untuk memanjangkan hal itu kerana sedar tindakan itu hanya akan membuang masa dan mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya setuju untuk berdamai kerana mengikut nasihat ayah dan memikirkan kesannya.

“Diharapkan, kejadian ini menjadi iktibar kepada semua supaya dapat mengawal emosi ketika memandu dan tidak melakukan provokasi yang boleh mencetuskan pergaduhan.

“Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan dan membantu menyebarkan video berkenaan kerana tanpanya (video), kisah ini mungkin akan berlarutan” katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2019 @ 10:15pm
d