utama

Tidak letak harapan tinggi

Oleh Rudy Imran Shamsudin

SEBELUM 2019 berakhir, banyak perkara positif berlaku dalam kerjaya seni Eyka Farhana, 24.

Dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin 2019 menerusi drama Batik Zakiah, pada waktu sama Eyka turut melebarkan sayap sebagai penyanyi apabila muncul dengan single Laki-Laki ciptaan Omar K dan Ikhwan Fatanna.

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan kerjaya seni Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi tentu tahu pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Juvana 3: Perhitungan Terakhir ini tidak pernah menunjukkan kemampuannya menyanyi.

Sebelum ini Eyka pernah memperkenalkan lagu dendangannya bersama ‘influencer’ popular yang kini bergelar pengacara dan pelakon, Jaa Suzuran, Eh! Eh! Belum Lagi. Bagaimanapun, ia hanya diperdengarkan di saluran digital dan terhenti di situ sahaja.

Ditemui di sesi fotografi khas, Eyka menjelaskan perancangan untuk memperkenalkan dirinya sebagai penyanyi seharusnya berlaku tahun hadapan.

“Memang sebelum ini pihak pengurusan ada mengeluarkan lagu pengenalan dendangan saya bersama Jaa untuk melihat sejauh mana penerimaan peminat.

“Bagaimanapun, kami tidak mempromosikannya kerana jadual saya dan Jaa sangat padat. Jaa ketika itu banyak dapat tawaran berlakon dan mengacara.

“Ini termasuk membintangi filem Autumm In Wales yang saya menjadi pasangan kekasih watak lakonan Jaa dan kemudian dia mengelilingi Eropah untuk mengendalikan program baharu yang bakal disiarkan Ramadan nanti.

“Saya pula terbabit dengan banyak penggambaran drama bersiri dan telefilem temasuk Batik Zakiah yang melayakkan dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik sebaris aktres hebat dan berpengalaman luas.

“Selain itu saya turut terbabit dengan penggambaran drama adaptasi siri popular Hollywood apabila saya berkampung di Bali dan Jakarta hampir 40 hari,” katanya.

Jelas Eyka, maklumat lanjut projek istimewa itu tidak dapat dikongsi buat sementara memandangkan pihak penyiar akan mengaturkan satu sidang media khas apabila drama itu disiarkan pengendali penstriman yang menghasilkan drama terbabit.

Menyentuh mengenai Laki Laki, Eyka tidak menyangka Life Records yang mengedarkan lagu itu melakukan promosi lebih awal daripada jangkaan.

“Laki Laki dirakamkan untuk runut bunyi drama Dia Adelia yang saya bintangi dan akan disiarkan di TV Okey pada 30 Disember ini, jam 10 malam. Dia Adelia ada 13 episod dan akan tamat siaran pada 11 Januari 2020.

“Tak sangka pula lagu ini dipasarkan lebih awal. Mungkin juga ia sebahagian strategi bagi memperkenalkan saya sebagai pelakon utama drama Dia Adelia,” katanya.

Jelas Eyka lagi, sebelum ini dia tidak pernah menyanyi dan tidak terfikir akan bergelar penyanyi.

“Saya biasa menyanyi untuk suka-suka seperti di pusat karaoke atau majlis membabitkan keluarga dan teman rapat. Saya tidak rasa suara saya merdu. Bagaimanapun, pihak pengurusan iaitu Mind Order Sdn Bhd meyakinkan saya boleh menyanyi.

“Sehinggalah saya bertemu dengan beberapa komposer untuk projek beberapa lagu yang sudah pun saya rakamkan dan kata mereka saya ada suara yang sedap dan tidak ada masalah untuk menyanyi. Saya terkejut menerima maklum balas seperti itu,” katanya.

Bagaimanapun, kata Eyka, dia tidak meletak harapan tinggi apabila tampil sebagai penyanyi dan mengharapkan peminat turut melakukan perkara sama.

“Janganlah meletakkan harapan tinggi yang saya ini penyanyi hebat. Saya tahu kemampuan saya. Sebab itu untuk permulaan ini saya memilih mendendangkan lagu yang berentak rancak dan tidak terlalu menguji kemampuan vokal.

“Saya perlu belajar pelahan-lahan dan sekarang banyak berlatih untuk memantapkan kemampuan vokal apabila tidak terbabit dengan sebarang penggambaran,” katanya.

Jelas Eyka, disebabkan lagu Laki-Laki terlebih dulu dipromosikan, pihak pengurusannya terpaksa merencana kembali strategi untuk mempromosikan lagu yang sudah diperkenalkan sebelum ini.

“Buat masa ini biarlah Life Records mempromosikan lagu Laki-Laki terlebih dahulu dan kemudian barulah lagu duet saya bersama Jaa akan dipasarkan. Selain itu, saya dijadualkan merakamkan satu lagi lagu baharu.

“Bagaimanapun, ia masih dalam perancangan. Saya bersyukur dan tidak menyangka kerjaya nyanyian berkembang dengan baik pada usia sekarang.

“Harap tidak terlambat untuk saya bergelar penyanyi dan peminat akan terus menyokong apa juga yang dilakukan sama ada sebagai pelakon mahupun penyanyi,” katanya.

Menyentuh mengenai bidang lakonan pula kata Eyka, pihak pengurusannya kini meneliti beberapa tawaran selain akan terbabit dengan penggambaran filem Polis Evo 3.

“Kini saya bersedia menerima watak berat dan mencabar. Sebelum ini saya tidak ada keberanian kerana kurang yakin kemampuan diri.

“Bagaimanapun, apabila nama dicalonkan dalam senarai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2019, saya percaya pihak penggiat industri nampak dan yakin kemampuan saya. Mereka yang menilai bakat saya dalam Anugerah Skrin 2019 terdiri daripada penggiat seni berpengalaman.

“Bagi saya pencalonan itu penghormatan dan sudah bersedia untuk cabar diri dengan tugasan lebih besar,” katanya.

Disiarkan pada: December 3, 2019 @ 5:30am
d