utama

Sepuluh tahun tahan air mata [METROTV]

Oleh Nur Lela Zulkipli

“KADANG kala saya dan suami menangis dalam ketawa kerana tidak mahu anak lihat kami bersedih,” kata Siti Mahfuzah Makpol, 42, ibu kepada Airein Nurain, 12, disahkan mengalami kegagalan kedua-dua belah buah pinggang sejak berusia dua tahun.

Akibat masalah kesihatan dialami pembesaran Airein terbantut, belum boleh berjalan dan kini berisiko menghidap Brown Tumor boleh menjejaskan penglihatannya.

Siti Mahfuzah berkata, Airein kini menjadi antara pesakit buah pinggang termuda yang menjalani rawatan dialisis di negara ini.

“Ketika usia anak memasuki dua tahun dia mengalami demam biasa, tapi selepas menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk dilakukan pakar, kedua-dua belah buah pinggang Airein disahkan rosak dan tidak boleh diselamatkan.

“Meskipun sedih saya dan suami perlu positif bagi memastikan Airein sentiasa gembira. Saya masih tidak dapat lupakan pengalaman menyusukan Airein ketika dia menjalani rawatan dialisis.

“Lebih 10 tahun saya tahan air mata depan anak. Saya tidak mahu dia berasa masalah kesihatan dialami menyebabkan orang lain bersedih,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kini dia dan suami, Nazemir Mohamad, 42, menyara keluarga dengan menjual rempeyek.

“Pendapatan kami cukup untuk tampung keluarga, malah saya bersyukur jiran dan penduduk berhampiran kerap tampil membantu kami,” katanya.

Sementara itu, Nazemir mengakui perlu bekerja keras untuk menampung perbelanjaan lima anak termasuk Airein yang perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Sebelum ini dia dan Siti Mahfuzah mengusahakan gerai menjual pisang goreng namun terpaksa berhenti berikutan tahap kesihatan Airein yang semakin merosot.

“Alhamdullilah, isteri boleh membuat rempeyek dan saya akan agihkan di kedai yang menempah. Biarpun tidak banyak, namun cukup untuk sara lima anak,” katanya.

Katanya mereka menerima bantuan bulanan dan kos pengangkutan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Pihak pengurusan Masjid Kampung Kuantan, guru sekolah Airein juga tidak putus beri sokongan biar pun dia jarang ke sekolah,” katanya.

Menurutnya, Airein kerap menyuarakan hasrat untuk berjumpa dengan pelakon dan pelawak popular Zizan Razak selepas melihat video selebriti itu.

“Airein sering ketawa dengan lawak Zizan. Perkara itu pun sudah cukup menggembirakan hati saya dan isteri yang sedaya upaya ingin melekakan anak daripada mengingati kesakitan.

“Saya dan isteri kini hanya berharap dapat memenuhi hasrat Airein selagi Allah memberinya peluang,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2019 @ 6:45am
d