utama

'Tidak mahu ada lagi orang seperti kamu'

Oleh Alias Abd Rani

KERANA sikap penting diri, seorang lelaki bukan saja terpaksa menunggu sehingga 18 jam tetapi turut terlepas menghadiri kenduri kahwin kenalan rapat selepas keretanya dihalang kenderaan lain di kawasan parkir apartmen di Sentul pada Sabtu lalu.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Syafiq, 32, berkata, keadaan itu juga menyebabkan dia terpaksa tidur di rumah rakannya di apartmen berkenaan selepas tiada pemilik kenderaan datang mengalih kereta terbabit walaupun beberapa kali hon dibunyikannya.

Insiden itu bermula selepas selepas dia ke rumah rakannya itu sebelum mahu ke Bangi kira-kira 1 tengah hari untuk menghadiri kenduri seorang lagi rakannya.

Sebaik ke tempat parkir keretanya, dia mendapati sebuah kenderaan lain parkir melintang di hadapan menyebabkan kenderaannya tidak dapat keluar.

Menceritakan pengalaman itu, Mohd Syafiq berkata, pada mulanya dia menyangka pemiliknya parkir untuk sementara tetapi selepas sejam menunggu didapati tiada sesiapa datang mengalihkannya.

“Waktu itu, saya masih sabar menunggu dengan harapan pemilik datang mengalih. Paling tidak saya jangka sekitar 2 petang tetapi sangkaan saya meleset.

“Pada masa sama, saya menghantar mesej pada rakan memaklumkan situasi yang berlaku dan mujurlah mereka faham.

“Jadi, saya ingat nak guna khidmat e-hailing tetapi tidak jadi sebab tambang RM60 untuk ke Bangi,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia kembali ke rumah rakannya selepas bosan menunggu sebelum turun ke kawasan parkir itu pada waktu Maghrib tetapi pemilik kenderaan terbabit didapati masih tidak mengalih keretanya.

Disebabkan berang selain hilang sabar, Mohd Syafiq meletakkan sekeping nota pada cermin hadapan kereta itu, menyindir pemilik kereta terbabit serta kondom yang ditampal pada kertas itu.

Antara yang ditulisnya ialah: “Dear @#$% (kepada @#$%), tq (terima kasih) for blocking my car (kerana menghalang kereta saya). Pls use this (gunakanlah benda ini, merujuk kepada kondom), cuz we dont want another you (kami tidak mahu ada lagi orang seperti kamu).

Ia kemudiannya dimuat naik ke Twitter dan mendapat sokongan netizen.

Menurut Mohd Syafiq, hanya pada 7 pagi keesokan hari,barulah keretanya boleh keluar sebelum dia pulang ke rumahnya di Ampang untuk bersiap untuk ke tempat kerja.

“Tempat itu (parkir) memang terbuka dan sentiasa sesak. Yang kosong hanya ruang berbayar jadi tidak patutlah pemilik kereta melakukan sedemikian.

“Kalau nak parkir, tak perlulah mengangkat brek tangan menyebabkan orang lain susah,” katanya sambil memaklumkan ia adalah pengalaman paling perit dilaluinya.

Disiarkan pada: December 5, 2019 @ 10:00pm
d