utama

Baju Melayu punya pasal [METROTV]

Oleh Ahmad Suhael Adnan

KEKECOHAN tercetus di hadapan pintu masuk dewan persidangan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) pagi ini apabila sejumlah perwakilan dan ahli sayap PKR itu tidak dibenarkan masuk.

Pertikaman lidah itu turut menyaksikan pergaduhan fizikal antara dua ahli.

BH Online melaporkan kekecohan bermula jam 8.30 pagi apabila pasukan keselamatan parti tidak membenarkan beberapa perwakilan dan anggota AMK masuk atas alasan tidak memiliki pas, selain tidak memakai baju Melayu.

Turut tidak dibenarkan masuk ialah bekas Pengerusi Tetap AMK, Mizan Adli Mohd Noor yang dipecat daripada jawatannya pada 24 November lalu.

Kekecohan itu berlaku lebih 30 minit, dengan sejumlah perwakilan bertikam lidah dengan skuad keselamatan parti, selain berlaku tolak-menolak, sebelum keadaan sedikit tenang apabila mereka dibenarkan masuk seorang demi seorang.

Mizan Adli ketika ditemui media menegaskan, beliau berhak masuk ke dalam dewan persidangan dan sepatutnya terbabit dalam kongres sewaktu pelantikan Pengerusi Tetap AMK yang baharu diumumkan.

“Bagaimana kongres boleh berlangsung tanpa saya di dalam (selaku Pengerusi Tetap). Apabila saya dapat masuk, saya ditolak keluar, dipukul dan dicekak di bahagian belakang. Mana keadilan?

“Sebahagian besar perwakilan dihalang masuk kerana tidak pakai baju Melayu, sedangkan ketetapan itu tidak pernah diputuskan.

“Saya anggap Kongres AMK ini tidak sah kerana kalau nak buat pelantikan Pengerusi Tetap yang baharu, saya perlu berada di dalam,” katanya yang menegaskan akan membuat laporan polis atas kekasaran fizikal terhadapnya.

Sebaik berakhir sidang media bersama Mizan Adli, keadaan kembali kecoh apabila perwakilan yang tidak dapat masuk cuba merempuh masuk dewan persidangan.

Pergaduhan fizikal antara seorang perwakilan dengan seorang pemerhati berbaju hitam menyebabkan keadaan bertukar tegang, dengan pergaduhan berterusan sehingga ke luar pusat persidangan, sebelum keadaan kembali terkawal.

Disiarkan pada: December 6, 2019 @ 12:00pm
d