utama

Hanya fitnah

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SEORANG peniaga peralatan pembinaan menafikan premisnya menjual mangkuk tandas menghina Islam yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Chai Chee Ming, 47, berkata, perkara itu tular di Facebook, WhatsApp dan YouTube dengan menyatakan dia menjual mangkuk tandas dengan meletakkan ayat al-Quran sedangkan produk berkenaan tiada di premisnya.

Katanya, individu yang menyebarkan fitnah itu turut meminta orang ramai memboikot premisnya kerana menghina Islam dengan menggunakan gambar yang diambil dari laman web syarikat belian dalam talian.

“Saya hanya mengetahui perkara itu kelmarin (Rabu lalu) apabila dikunjungi pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang memaklumkan kedai saya di Pasir Mas dan Tumpat tular di media sosial selepas dikatakan menjual mangkuk tandas menghina Islam.

“Mereka kemudian memeriksa di dalam premis dan tidak menemui sebarang produk yang tular itu. Pekerja saya turut maklumkan menerima pesanan WhatApp mengenainya daripada rakan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Chai berkata, dia membuat laporan polis di Balai Polis Pengkalan Chepa kelmarin bagi membolehkan polis menyiasat.

“Pada masa sama, saya bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga susulan penyebaran fitnah ini.

“Ini kejadian pertama berlaku sejak berniaga selama 22 tahun. Tak mungkin saya buat perkara itu kerana turut memiliki 100 pekerja beragama Islam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 6:30am
d