utama

Wisma Putra sah mangsa sekeluarga

Oleh Suraya Roslan

WISMA Putra mengesahkan sekeluarga rakyat Malaysia terbabit kemalangan di Kaikoura, Pulau Selatan, New Zealand, petang semalam.

Menurutnya, maklumat diterima daripada Kedutaan Besar Malaysia di Wellington yang memaklumkan tiga daripada mereka meninggal dunia.

“Kemalangan berkenaan membabitkan sebuah kereta disewa oleh keluarga berkenaan yang bercuti di negara itu, dengan sebuah lori.

“Wakil Kedutaan Besar Malaysia di Wellington dijangka tiba di Christchurch pada 6 petang waktu tempatan, hari ini untuk memberi bantuan konsular kepada keluarga berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Harian Metro melaporkan tiga rakyat Malaysia yang sedang melancong di negara itu maut, manakala dua cedera dan kritikal dalam kemalangan membabitkan kereta serta lori.

Portal berita New Zealand, nzherald.co.nz melaporkan, kejadian berlaku kira-kira 3 petang waktu tempatan di Lebuhraya Negeri 1, utara Kaikoura.

Laporan menyebut mangsa mempunyai pertalian kekeluargaan dengan tiga yang maut dikenal pasti sebagai dewasa, dua yang kritikal adalah remaja.

Mangsa diterbangkan ke Hospital Christchurch dan Hospital Wellington dengan helikopter bagi mendapatkan rawatan.

Berita berkaitan

3 warga Malaysia maut kemalangan di New Zealand

Disiarkan pada: December 7, 2019 @ 4:04pm
d