utama

'Kita bukan pejuang PM8' - Zuraida

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

“KALAU kami dipecat, saya dan (Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri) Mohamed Azmin Ali dah bersedia.

“Kami rela dikorbankan demi parti keadilan (PKR) kerana nak bawa ke landasan yang betul,” kata Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Reaksi itu diutarakan Zuraida ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, sebentar tadi.

Zuraida yang diketahui umum orang kuat Azmin secara terbuka menyerang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang katanya, gagal menguruskan parti dengan baik serta melakukan lantikan pimpinan yang tidak sepatutnya.

“Saya tahu ucapan kita malam ini direkod, saya nak presiden dengar kerana saya berharap beliau akan berubah dan mendapat semula kebijaksanaan beliau untuk letak parti di landasan betul.

“Saya dah jalankan tugas untuk menegur dan perkara-perkara yang mengaibkan saya tak boleh cerita tapi saya dah jalankan tugas saya. Saya tak mahu dipersoalkan Allah kenapa tahu tapi mendiamkan diri.

“Saya iringkan doa buat presiden supaya mati dalam kebaikan (husnul khotimah) bukan dalam keburukan,” katanya.

Zuraida dalam ucapannya juga menyerang Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismai yang dilantik presiden parti kerana dakwanya gagal menguruskan parti.

Dalam perkembangan sama, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut berkongsi pertemuan empat mata dengan Anwar selepas menghantar empat surat untuk bertemu dengan presiden bagi membincangkan soal parti.

“Saya dipanggil presiden berjumpa tiga empat bulan lalu. Ketika pertemuan Anwar mula bercerita mengenai video (semburit) dengan mendakwa ia adalah Azmin kerana polis dah sahkan. Cakap kasihan pada Azmin, saya suruh dia tolong.

“Lepas itu (Anwar) dakwa Tun (Dr) Mahathir Mohamad suruh pecat Azmin tetapi berbeza dengan kenyataan Tun yang kata Azmin tidak perlu bercuti dan teruskan kerja seperti biasa. Anwar cakap, saya tak kenal Tun.

“Jadi saya sebut, Datuk Seri (Anwar) saya memang tak kenal Tun, saya pun tak kenal you (awak). Sebab apa? Saya masuk dalam parti berseorangan, bukan (berasal) dari UMNO, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) atau parti lain, saya datang sendiri.

“Saya tak kenal (Anwar), masuk parti dia dalam penjara, keluar 2004 kejap masuk lagi, mana saya kenal,” katanya.

Zuraida berkata, perjumpaan seperti WKB bagi menegakkan keadilan dalam PKR akan diadakan di seluruh negeri.

“Apa selanjutnya perjumpaan kita malam ni? Kita mulakan dengan majlis makan malam WKB, ini akan jadi platform jelajah seluruh negeri. Gerakkan sekarang... aturkan. Jelajah ini akan dipimpin Azmin.

“Kita garap semangat, penyokong kita untuk bersama-sama menegakkan keadilan. Kita adalah pejuang reformasi, pejuang keadilan, kita bukan pejuang PM8 (Perdana Menteri ke-8).

“Ini yang saya nak tekankan, bukan sokong bawa rebah, belum sempat jadi PM8, rebah,” katanya.

Disiarkan pada: December 8, 2019 @ 11:22pm
d