utama

Magis tangan Darleen [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

BERMAIN piano dan keyboard serentak adalah kelebihan dimiliki gadis berusia 25 tahun, Darleen Nur Adila Zakir.

Kebolehan Darleen Nur Adila mendapat perhatian warganet selepas memuat naik video bermain kedua-dua alat muzik berkenan bagi gabungan lagu Memories nyanyian kumpulan Maroon 5 dan muzik klasik Canon In D.

Menerusi video berdurasi 44 saat itu, dia dilihat menggunakan tangan kanannya untuk menekan keyboard manakala kiri bagi bermain piano.

Sehingga kini, video itu meraih lebih 312,000 tontonan dengan rata-rata pengikut serta warganet kagum dengan bakat dimiliki anak sulung daripada empat beradik itu.

Bercerita lanjut, Darleen Nur Adila berkata, dia belajar bermain piano sejak berusia tujuh tahun manakala keyboard ketika di sekolah menengah.

Menurutnya, pada awalnya, dia lebih cenderung bermain satu alat muzik saja dalam satu masa tetapi kini selesa bermain-main kedua-duanya serentak.

“Sejak kecil lagi, saya sudah didedahkan dengan piano dan minat itu berterusan sehingga dewasa.

“Malah saya menggunakan kemahiran bermain piano itu untuk mendapatkan pendapatan sampingan dengan mengambil tawaran sebagai tutor persendirian.

“Kiranya, bermain alat muzik adalah hobi saya dan disebabkan itu, saya gemar memuat naik video bermain piano di Twitter pada masa terluang.

“Namun video bermain piano dan keyboard dengan dua tangan itu lebih mendapat perhatian sedangkan saya tidak meletakkan harapan untuk ia (video) tular kerana masih di peringkat percubaan,” katanya.

Bagaimanapun, dia berterima kasih kepada mereka yang memberi sokongan kepadanya.

“Ramai memberi komen positif tetapi terdapat juga segelintir warganet yang mempertikaikan kerana menganggap video saya tular disebabkan faktor rupa.

“Saya terima segala komen dengan hati terbuka dan akan terus memperbaiki diri.

“Jujurnya, bukan mudah bermain dua alat muzik dalam satu masa tetapi itulah cabaran yang perlu saya atasi,” katanya yang menetap di Kajang, Selangor.

Menurutnya, dia banyak mendapat nasihat serta tunjuk ajar daripada bapanya, Zakir Zinnon, 50, yang juga pemain drum kumpulan popular era 80 an, Bloodshed.

Malah bapanya juga menjadi pengkritik nombor satu dan individu yang sering menemaninya setiap kali mengadakan persembahan bersama band.

“Ayah berpengalaman dalam industri muzik jadi saya banyak minta pandangannya serta menjadikannya sebagai rujukan.

“Selain menjadi penasihat, ayah juga yang akan menemani saya jika ada undangan membuat persembahan dan sering berpesan supaya menjaga batas serta imej sebagai gadis bertudung,” katanya.

Disiarkan pada: December 9, 2019 @ 9:16pm
d