utama

52 daerah parol

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

KAJANG: Seramai 1,681 banduan kini sedang menjalani perintah parol di 52 daerah di seluruh negara dengan bekerja dalam pelbagai sektor antaranya perkhidmatan, perladangan, pembuatan dan perindustrian.

Daerah Klang di Selangor adalah yang paling ramai iaitu 251 orang diikuti Manjung, Perak (92 orang) dan 73 orang di Kuantan, Pahang manakala selebihnya di 49 daerah lain.

Semua ODP dibayar gaji mengikut undang-undang buruh dan bergantung kepada kemahiran masing-masing dan semua mereka bebas memilih untuk tinggal bersama keluarga atau asrama disediakan majikan.

Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Ibu Pejabat Penjara Malaysia Ibrisam Abdul Rahman berkata, semua banduan dikenali sebagai Orang Diparol (ODP) dan mereka dipantau 761 pegawai parol di seluruh negara.

Katanya, ODP terbabit ditempatkan di 52 daerah atau Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti di seluruh negara.

“Tahap kejayaan sistem ini mencapai 98.25 peratus iaitu bermaksud ODP tidak melanggar syarat perintah parol dan menamatkan hukuman di luar penjara tanpa sebarang masalah,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil usaha dan kerja keras pegawai parol yang bertanggungjawab memantau ODP di bawah seliaan masing-masing dengan program pemulihan dirancang sehingga banduan terbabit kembali diterima masyarakat.

“Malah, ada yang diterima bekerja dengan majikan selepas menjalani program Corporate Smart Internship (CSI) dalam sektor pekerjaan ketika tempoh parol.

“ODP yang menjalani CSI ditempatkan bekerja dalam pelbagai sektor antaranya perkhidmatan, perladangan, pembuatan dan perindustrian.

“Pegawai parol boleh dianggap sebagai wira tidak didendang kerana menjalankan tugas dengan baik sehingga banduan ini berubah menjadi insan berguna kepada masyarakat malah menguntungkan negara kerana majikan memerlukan mereka untuk memenuhi sektor pekerjaan terutama industri tanpa perlu bergantung kepada buruh asing,” katanya.

Ibrisam berkata, peranan pegawai parol amat besar kerana tanpa mereka tidak mungkin sistem itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Katanya, tugas mereka bukan hanya memantau malah membantu ODP menyesuaikan diri dalam masyarakat dan memberi peluang kedua kepada banduan bagi menjalani kehidupan yang lebih baik dari sebelumnya.

“Malah, kita juga bertanggungjawab memberi atau mencari peluang bagi ODP mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan mereka.

“Walaupun bilangan pegawai parol yang memantau ODP tidak ramai, namun komitmen ditunjukkan mereka amat memuaskan bagi memastikan sistem parol ini berjaya dilaksanakan,” katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2019 @ 5:40am
d