utama

Jam tangan mewah untuk pujuk Rosmah

Oleh Murni Wan Omar

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa tujuan beliau membeli jam tangan mewah untuk isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor adalah untuk memujuknya berikutan terpaksa memendekkan percutian keluarga mereka di Honolulu, Hawaii.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung tindakannya membeli jam tangan AS130,625 (RM466,330.11) di butik Chanel menggunakan kad kredit miliknya.

Menurutnya, setiap tahun beliau mempunyai cuti tahunan sebanyak sepuluh hari dan memilih ke Hawaii bersama keluarga pada 2014.

"Ketika saya bercuti bersama keluarga dan dalam masa yang sama berlaku banjir besar di Kelantan dan saya difahamkan terbesar dalam tempoh 70 tahun. Saya sepanjang masa mengikuti perkembangan banjir itu dan berada dalam keadaan resah memikirkannya.

"Berikutan itu saya pendekkan cuti saya dan menyebabkan keluarga bersedih kerana saya terpaksa meninggal mereka dan balik ke Malaysia serta merta," katanya.

Najib berkata, beliau pulang selepas bermain golf dengan bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama kerana ia sudah dirancang terlebih dahulu.

"Ini adalah penting bagi Malaysia. Orang tidak tahu apabila bermain golf kita akan berada selama lima jam di dalam kereta 'buggy'. Selama lima jam itu adalah peluang baik untuk negara.

"Hubungan peribadi dengan individu paling berkuasa di atas muka bumi ini. Oleh kerana itu saya menunggu selepas bermain golf untuk bergegas balik ke Malaysia," katanya.

SHAFEE: Ada perkara mustahak dengan keluarga ketika itu? Atau ada meraikan sebarang acara?

NAJIB: Kebetulan dekat dengan hari jadi isteri saya dan sebab itulah mereka begitu kecewa dengan tindakan saya (balik ke Malaysia). Malah anak saya, Ashman yang ketika itu bekerja di Istanbul terbang ke Honolulu untuk bersama keluarga tetapi saya tidak ada. Oleh kerana itu saya membuat keputusan untuk membeli sesuatu yang dipilih oleh isteri. Ia adalah pemberian peribadi saya dan satu-satunya barangan peribadi yang saya beli menggunakan kad kredit ini dan tiada yang lain.

Najib berkata demikian ketika memberi keterangan membela diri atas tujuh pertuduhan merangkumi kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya.

Prosiding dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali masih berjalan.

Disiarkan pada: December 10, 2019 @ 11:23am
d