utama

Riana 'hantui' pawagam negara

Oleh Syafil Syazwan Jefri

NAMA The Sacred Riana tentunya tak lagi asing buat penonton dan peminat program realiti Asia’s Got Talent, lebih-lebih lagi selepas gadis misteri berusia 27 tahun dari Indonesia ini menjuarai musim kedua program itu.

Terkini, Riana hadir ‘menghantui’ pawagam Malaysia menerusi filem pertamanya, The Sacred Riana: Beginning yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula esok.

Selain Riana, filem arahan Billy Christian itu membariskan pelakon seperti Aura Kasih, Brooklyn Alif Rea, Agatha Chelsea, Prabu Revolusi, Citra Prima dan Frissly Herlind.

Hadir ke Malaysia baru-baru ini, Riana yang jarang berkata-kata berkongsi rasa seram dengan peminat Malaysia dan menganggap pengalaman pertamanya berlakon filem tidaklah terlalu sukar kerana dia menjadi dirinya yang sebenar.

“Tidak terlalu sukar,” jawabnya ringkas.

Ditemani pengurusnya yang dikenali sebagai Bow, Riana sememangnya suka menyendiri ketika di lokasi penggambaran.

“Dia akan berkomunikasi melalui saya. Dia memang tak banyak bercakap dan suka menyendiri. Kalau waktu rehat antara babak pun, dia akan menyendiri,” kata Bow.

Ditanya sama ada Riana kekok ketika penggambaran, Bow berkata, Riana akan bertanya kepadanya jika ada kekeliruan.

“Dia tidak meletakkan sebarang syarat untuk berlakon, cuma dia nak tahu bagaimana berlakon dan sebagainya. Selain itu, dia juga ada meminta pihak produksi menyediakan ruangan khusus untuknya.

“Apa yang boleh saya katakan, pengarah berpuas hati dengan lakonannya dan dia pun tak banyak melakukan kesilapan ketika berlakon,” katanya.

Seorang lagi pelakon, Aura Kasih yang memegang peranan sebagai Klara berkata, dia ada pengalaman sendiri ketika bertemu Riana.

“Dia memang tak banyak bercakap. Kali pertama saya bertentang mata dengannya, timbul rasa takut juga kerana tahu kemampuannya ketika bertanding dalam Asia’s Got Talent.

“Untuk berkomunikasi, kami akan dibantu pengurusnya dan Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya membintangi filem seram itu, Aura berkata, dia tidak melalui sebarang pengalaman menyeramkan yang keterlaluan.

“Alhamdulillah, tak ada sebarang kejadian menyeramkan yang berlaku kepada saya. Cumanya, ada satu ketika, tiba-tiba timbul rasa seperti sayu, sedih dan takut. Saya sendiri pun tak tahu kenapa, tapi apabila bertanya kepada kru yang tahu serba sedikit mengenai alam ghaib, dia memberitahu ada ‘sesuatu’ di lokasi itu,” katanya.

Menjalani penggambaran di sebuah rumah tinggal di kawasan Tegal di Jawa Tengah, Indonesia, Aura mengakui lokasi itu sendiri sudah cukup menyeramkan.

“Rumah tinggal itu di Tegal, kira-kira lima jam perjalanan menaiki kereta api dari Jakarta. Nak masuk ke kawasan rumah tinggal itu juga sangat mencabar dan memang menyeramkan,” katanya.

Pelakon kanak-kanak, Brooklyn Alif Rea juga berkongsi pengalamannya membintangi filem itu.

“Saya tak rasa takut kerana Riana adalah idola saya. Jadi, satu pengalaman yang menyeronokkan apabila dapat berlakon bersama dengannya. Dia pun seorang yang baik.

“Yang mencabar adalah untuk berbicara dalam bahasa Belanda. Itu cabaran terbesar buat saya,” katanya.

Sementara itu, Billy yang tidak asing dalam menghasilkan karya genre seram menganggap ini sebagai pengalaman baharu kerana perlu berdepan dengan pelakon yang memiliki karakter seperti Riana.

“Seperti yang kita lihat dia di kaca TV, begitulah Riana di luar. Dia tidak banyak bercakap.

“Untuk dialog dan sinopsis, pihak produksi perlu menghantarnya kepada pengurusan Riana terlebih dahulu dan dari situ, dia akan maklumkan bahagian mana yang boleh dilakonkan dan bahagian mana tidak boleh.

“Selain itu, ada juga beberapa dialog yang perlu disesuaikan dengan kehendaknya memandangkan dia hanya akan mengucapkan beberapa perkataan,” katanya.

Namun, Billy teruja dengan kemampuan lakonan Riana yang kali pertama berlakon filem.

“Walaupun tidak banyak dialog, dia berjaya membawakan karakter itu dengan cukup baik menerusi ekspresi wajah dan gerak-gerinya,” katanya.

Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 5:15am
d