utama

Sunny tak dibuai populariti

Oleh Georgie Joseph

KARISMA dan ketampanan pelakon terkenal Thailand ini tidak dapat dinafikan dan sentiasa menjadi bualan. Pesona Sunny Suwanmethanont, 38, tidak pernah pudar, malah semakin bersinar.

Lebih 14 tahun menabur bakat di layar perak, tentu sekali profilnya sudah terlalu gah.

Hakikatnya, populariti dikecapinya merentasi seluruh Asia termasuk dipuja di Malaysia.

Walaupun sudah bergelar artis senior, Sunny berasakan dia belum sampai ke tahap itu.

Dengan merendah diri, dia mahu dilihat berdiri sama tinggi dengan pelakon lain termasuk pendatang baharu.

“Saya bermula daripada kosong. Apa yang saya tahu, saya cuma mahu menjalani hidup dengan melakukan pekerjaan yang dicintai.

“Disebabkan itu, saya tidak pernah meletakkan pencapaian sebagai penanda aras kejayaan. Saya masih lagi mahu bekerja keras untuk terus menabur bakat dalam bidang lakonan,” katanya.

Ketika bermula pada 2005, Sunny sudah mengecap kenangan manis peribadi apabila mendapat pengiktirafan besar.

Wataknya sebagai Khaiyoi dalam filem Dear Dakanda ketika itu melayakkan dia menang Aktor Terbaik pada Anugerah Kom Chad Luek.

Mengimbas detik itu, dia mengatakan itu cuma permulaan manis untuknya. Tidak meletakkan sebagai beban, sebaliknya dia melihat pencapaian itu sebagai titik mula untuk bekerja keras.

“Pencapaian itu hanya satu lagi motivasi untuk terus menjadi terbaik. Lagipun, saya sudah menetapkan untuk tidak mengira berapa lama berada dalam industri.

“Saya cuma lakukan kerja sebagai pelakon kerana itulah yang ingin dilakukan untuk jangka masa panjang. Bagaimanapun, tentunya kenangan itu manis untuk diimbau,” katanya.

Menurut bintang drama My Ambulance ini, dia juga tidak sedar transisi besar dialami dalam industri filem. Ini disebabkan dia terlalu fokus untuk memberikan lakonan terbaik.

“Sebenarnya saya rasa tidak banyak yang berubah. Paling-paling pun dari aspek teknikal penggambaran saja apabila teknologi digital semakin berkembang.

“Dulu, penggambaran lebih banyak dilakukan dengan penggunaan filem manual. Sekarang, semuanya dilakukan secara digital yang sebenarnya lebih memudahkan,” katanya.

Berkongsi mengenai strateginya terus kekal relevan, tidak banyak boleh diolah Sunny.

Dia menyifatkan kehadirannya sebagai pelakon mendapat ‘berkat’ sepanjang masa.

Namun, dia masih meletakkan beberapa nilai penting sebagai tunjang keperibadian untuk bergelar pelakon disegani.

“Apa yang saya amalkan dari dulu sampai sekarang adalah untuk sentiasa memiliki disiplin terbaik. Nilai itu sangat diperlukan jika mahu terus dihormati.

“Saya bertuah dikelilingi ramai individu yang sangat baik dan tidak putus-putus menyokong saya. Saya juga bersyukur perjalanan saya sentiasa lancar dan diberkati sejak awal dulu,” katanya.

Mana-mana pelakon pasti sentiasa dahagakan watak tertentu yang boleh terus mencabar kemampuan mereka. Bahkan, ada yang meletakkan watak spesifik untuk dicuba bagi membuktikan kehebatan mereka.

Namun berbeza buat Sunny, dia tidak suka untuk memfokuskan kepada watak. Sebaliknya, dia mahu terbabit dalam naskhah yang bermutu tinggi.

“Saya memang tidak gemar memilih watak secara spesifik. Apa yang penting adalah skrip yang bagus dan bermutu.

“Kualiti produksi juga antara elemen yang begitu menarik perhatian saya. Itu saja yang paling penting buat saya untuk terbabit dalam naskhah bermutu tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Sunny juga berharap akan terus tampil dengan pelbagai projek tanpa terlalu memilih. Baginya, dia tidak mahu ada batas yang mengehadkan dirinya untuk terus meneroka sisi lain dirinya.

“Setiap peluang baharu adalah ruang terbaik untuk menjadi lebih baik. Pengalaman itulah yang akan menjadikan diri kita lebih berilmu serta mematangkan,” katanya.

Menerusi drama My Ambulance yang ditayangkan di platform penstriman Dimsum Asia, Sunny turut bergandingan dengan pelakon popular Thailand lain seperti Wongravee Nateetorn, Kanyawee Songmuang, Davika Hoorne dan Thiti Mahayotaruk.

Disiarkan pada: December 11, 2019 @ 5:20am
d