utama

Seni bina inspirasi Timur Tengah

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SIAPA sangka di sebuah perkampungan nelayan di Pulau Gajah, Sabak di sini terdapat sebuah masjid yang tersergam indah yang memiliki seni bina cukup unik.

Lebih unik, dari pandangan atas, masjid ini seolah-olah berada di atas sebuah pulau kecil yang dikelilingi sungai malah kedudukannya yang agak terpencil, tidak ramai mengetahui kewujudan masjid itu.

Bagaimanapun, selepas tular di media sosial, Masjid Ar-Rahman mula menjadi tumpuan orang ramai dari dalam dan luar negara sekali gus menjadi tarikan baharu pelancong di Kota Bharu.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Ar-Rahman, Hasan Mahmood, 79, berkata, masjid itu mula dibina pada tahun 2016 dengan kos RM6 juta hasil sumbangan seorang ahli perniagaan.

Katanya, pada mulanya dia hanya berbincang dengan ahli perniagaan itu untuk membina sebuah masjid untuk menggantikan masjid lama.

“Bagaimanapun, tanpa disangka dia bersetuju membina sebuah masjid di atas tanah miliknya seluas 0.8 hektar berhampiran masjid lama. Pada mulanya, kawasan ini, hanya hutan bakau sebelum ditambak sehingga terbentuk seperti sebuah pulau kecil.

“Pembinaan dimulakan pada 2016 dan siap dua tahun kemudian yang mampu menampung 1,000 jemaah pada satu-satu masa.

“Masjid itu kemudian diwakafkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, idea dan konsep seni bina masjid itu adalah idea ahli perniagaan dan isterinya.

“Mereka sering merantau dan mendapat inspirasi daripada masjid di luar negara seperti Maghribi, Indonesia, Turki dan Yaman.

“Sebagai contoh, tiang tempat imam solat menggunakan batang pokok kurma yang diambil dari negara di Timur Tengah, dua pintu masuk dari Yaman, lakaran al-Quran di tengah siling dibawa dari Turki dan geduk di pekarangan masjid diperoleh dari Indonesia. Ukiran seni khat di sekeliling masjid menggunakan kepakaran pekerja Indonesia,” katanya.

Hasan berkata, sejak tular di media sosial, masjid itu menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara yang ingin melihat sendiri keunikan masjid berkenaan.

“Perancangan di masa hadapan, sebuah jeti akan dibina berhampiran masjid untuk memudahkan pelancong melawat dengan bot,” katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 5:50am
d