utama

Jenayah siber semakin teruk

Oleh Hairulazim Mahmud

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menganggap warga China yang menjadikan negara ini sebagai pangkalan sindiket jenayah siber serta penipuan dalam talian sebagai serius dan membimbangkan.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan pihak berkuasa sedar mengenai perkara itu dan sudah bertindak menangkap mereka yang terbabit.

“Kita memandang serius kegiatan ini, jika ada bukti mereka berpindah-randah maka kita akan tangkap.

“Bagi saya kegiatan ini membimbangkan dan kita sudah laksanakan tangkapan seperti yang dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), perkara ini sampai ke tahap Asean kita bincangkan seperti Macau Scam dan perjudian dalam talian, semua ini dalam pemerhatian kita,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas Majlis Pelepasan Bantuan Pasca Banjir anjuran pertubuhan bukan kerajaan belia di Putrajaya, semalam.

Laporan muka hadapan Harian Metro semalam mempersoalkan kemungkinan wujud dalang sindiket perjudian dalam talian dari China dipercayai memiliki rangkaian jalinan yang cekap hingga menyebabkan mereka mampu beroperasi di beberapa lokasi di negara ini tanpa berasa takut dikenakan tindakan.

Ini dibuktikan apabila Bernama melaporkan sekumpulan 40 warga China termasuk dua wanita yang dipercayai melarikan diri dari serbuan JIM di sebuah bangunan enam tingkat di Jalan Lingkaran Point Cyber Barat, Cyberjaya, pada 20 November lalu ditahan dalam satu serbuan di banglo dua tingkat di Jalan Tun Dr Ismail, Ipoh, kelmarin.

Dalam serbuan di Cyberjaya, JIM menahan 680 warga China kerana disyaki terbabit sindiket penipuan dalam talian.

Paling menghairankan, kebanyakan warga China yang ditahan itu tidak memiliki pasport atau menyalahgunakan visa pelancong dengan bekerja di negara ini atau tinggal lebih masa.

Kejadian dua serbuan dalam tempoh tidak sampai sebulan dan didalangi warga sama menunjukkan sindiket perjudian terbabit ada geng atau dipayungi pihak tertentu dalam menjalankan operasi.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 6:00am
d