utama

Isteri kedua Samy Vellu fail permohonan interim nafkah [METROTV]

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SEORANG wanita yang mengaku sebagai isteri kedua kepada bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu mendakwa sudah tidak lagi mendapat nafkah sejak kali terakhir bertemu dengan suaminya itu pada Jun lalu.

E Meeriam Rosaline, 59, berkata kali terakhir dia bertemu suaminya itu pada 13 Jun lalu di sebuah restoran di ibu negara dan ketika itu, keadaan kesihatan Samy Vellu adalah baik seperti biasa dan dia memberitahunya supaya tidak bimbang kerana semua urusan akan berjalan seperti biasa.

“Tapi kini saya dihalang daripada bertemunya (Samy Vellu) dan segala perhubungan termasuk melalui telefon juga disekat sedangkan saya bergantung sepenuhnya pada suami saya itu.

“Saya hanya mahu berjumpa dengan suami saya kerana sebelum ini saya boleh bertemu dengannya, saya mahu suami saya menjaga saya sebagaimana janjinya sebelum ini,” katanya yang ditemui pemberita di perkarangan Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.

Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini mendengar permohonan interim difailkan Meeriam Rosaline selepas dia tidak dibenarkan bertemu dengan bekas Presiden MIC itu dan tidak lagi dibayar nafkah sebanyak RM25,000 sebulan seperti sebelum ini.

Meeriam Rosaline diwakili peguam RSN Rayer dan S Ramesh dengan permohonan berkenaan difailkan pada Mac lalu dan didengar di dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Hashim Hamzah hari ini.

Sementara itu, Rayer berkata, pihaknya sepatutnya memfailkan permohonan interim mengekalkan pembayaran nafkah ke atas anak guamnya hari ini namun ia ditangguhkan kerana mahkamah mahu mendengar keputusan permohonan saman difailkan anak lelaki Samy Vellu, Datuk Seri S Vell Paari yang dijadualkan didengar pada 17 Disember ini.

Vell Paari memfailkan saman pemula terhadap bapanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menentukan sama ada bekas Menteri Kerja Raya itu mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya untuk menguruskan hal ehwal dirinya.

Rayer berkata, Mahkamah Tinggi menetapkan 17 Januari depan bagi pendengaran permohonan interim difailkan anak guamnya.

Sementara itu, ditanya mengenai status anak guamnya, Rayer berkata, perkahwinan anak guamnya dengan Samy Vellu adalah sah dan ia diadakan secara tradisional pada 1981 di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Katanya, sepanjang tempoh itu sejak 1981, Samy Vellu sudah menyara serta tinggal bersama anak guamnya sebagai suami isteri.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 2:03pm
d