utama

Kejam sungguh

Oleh Adnan Ibrahim

ANAK gajah ditemui mati di ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Orang Asli Sedohok di Kahang dekat Kluang awal pagi tadi.

Tok Batin Kampung Orang Asli Sedohok, Halim Jahari berkata, bangkai anak gajah jantan berkenaan ditemui kira-kira 10 kilometer dari kampung berkenaan melalui jalan pintas dari Pekan Kahang.

Katanya, pemeriksaan di kawasan sekitar menemui kira-kira 20 nanas sejauh 10 meter daripada bangkai dan dipercayai kematian haiwan itu berpunca daripada buah berkenaan.

“Mungkin buah itu sengaja diletakkan di kawasan berkenaan dan dipercayai ianya diracun menyebabkan gajah berkenaan mati serta-merta selepas memakannya.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini amat dikesali dan saya mahu tindakan sewajarnya dilakukan pihak berkuasa,” katanya ketika membawa wakil Harian Metro meninjau kawasan kejadian sebelum laporan dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kluang.

Halim berkata, kejadian gajah mati itu adalah kali pertama berlaku berhampiran kampung mereka dan dikhuatiri tidak membabitkan hanya seekor kerana haiwan itu biasanya datang secara berkumpulan.

“Kami akan menunggu PERHILITAN menjalankan siasatan dan mengenal pasti jumlah sebenar gajah yang mati akibat kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Johor, Salman Saaban berkata, laporan kejadian sudah diterima.

Katanya, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut bersama unit forensik bagi mengenalpasti punca sebenar kematian selain menjejaki pihak bertanggungjawab.

Disiarkan pada: December 12, 2019 @ 4:53pm
d