utama

Kemuncak Debaran

Oleh Ardini Sophia Sina

DEBARAN pentas akhir Mentor Milenia 2019 tidak hanya dirasakan oleh protege Daus Husny, Aedy Kama, Rika Riana dan Apex Tajudin, tetapi emosi sama turut menghantui peminat serta mentor mereka.

Masing-masing di bawah bimbingan Ernie Zakri, Black Hanifah, Stacy Anam dan Hazama, peserta pertandingan realiti itu mengakui tertekan, namun enggan ia menjejaskan persembahan mereka.

Pentas akhir Mentor Milenia bakal bersiaran secara langsung jam 9 malam esok (Ahad) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral.

Apex peserta yang disebut-sebut bakal membolot hadiah utama pertandingan berkenaan. Empat minggu muncul sebagai juara mingguan dan berjaya mendapat perhatian serta pujian daripada Faizal Tahir, ramai meletakkan harapan tinggi persembahan Apex pada pentas akhir nanti jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

Kata Apex, dia sangat bersyukur dengan kejayaan itu, tetapi pada masa sama dia perlu lebih berhati-hati kerana ia membuka lebih banyak ruang untuk penonton mencari kesilapannya.

“Kejayaan itu sedikit sebanyak memberikan tekanam kerana orang akan mula mencari kesilapan. Saya kena berhati-hati dan sentiasa keluar dari zon selesa untuk mencapai jangkaan penonton.

“Bagaimanapun, saya bersyukur dengan pencapaian itu. Saya hanya lakukan yang terbaik dengan menerapkan apa yang diajar mentor. Semoga saya mampu lakukan yang terbaik di pentas akhir nanti,” katanya.

Bermula sebagai pemuzik jalanan lima tahun lalu, anak kelahiran Terengganu itu berkata, Mentor Milenia 2019 adalah pertandingan besar pertama yang pernah disertainya.

“Saya ada niat untuk cuba nasib tahun lalu, tetapi isteri hamil dan saya batalkan niat. Tahun ini saya cuba dan alhamdulillah, rezeki sampai ke peringkat akhir,” katanya.

Lelaki berusia 23 tahun itu juga berkata, dia tidak pernah menyembunyikan statusnya sebagai suami dan mempunyai seorang anak lelaki yang kini berusia enam bulan.

Daus pula tidak menyangka bakal melangkah ke pentas akhir. Menyedari mempunyai kelemahan dalam aspek vokal, dia fokus untuk memberikan persembahan terbaik.

“Keluarga sangat gembira dengan pencapaian saya. Saya juga sangat terharu dengan sokongan ibu yang setiap minggu datang dari Johor ke Shah Alam semata-mata tidak mahu terlepas menonton persembahan saya.

“Apa yang saya ingin fokus pada persembahan terakhir adalah untuk kepuasan diri dan mentor. Saya tidak mahu terlalu memikirkan kedudukan pada malam esok (malam ini),” katanya.

Daus mengakui bertuah menjadi protege Ernie yang cukup terkenal dengan vokal mantap. Malahan, dia juga ingin terus belajar vokal dengan penyanyi popular itu.

“Kak Ernie ada cakap untuk bentuk identiti vokal memang ambil masa lama. Sebab itulah saya bercadang terus menimba ilmu dengannya,” kata Daus.

Aedy bersaing dengan diri, Rika anggap tuah

Pernah dua kali berada di kedudukan dua terbawah, Aedy melihat semua peserta akhir saingan hebat kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

“Saya sedar, vokal saya tidak sebagus yang lain. Apabila dua kali hampir tersingkir, saya berfikir untuk bersaing dengan diri sendiri saja. Ada juga komen positif daripada juri tapi saya tak ambil mudah.

“Saya buat yang terbaik sama seperti yang Abang Black ajar. Terapkan semua yang saya belajar dalam kelas ketika persembahan. Saya kena sedar diri dan kerja lebih keras,” katanya.

Menyifatkan Black sebagai seorang yang tegas, dia tahu itu semua untuk kebaikan dirinya jika mahu terus berada dalam bidang nyanyian.

“Dia tegas orangnya. Kalau tak berikan tumpuan sepenuhnya mesti dia tegur. Sikap dan ketepatan masa juga sangat dititikberatkan. Kerja rumah mesti buat. Datang kelas dalam keadaan yang sudah bersiap sedia,” katanya.

Sementara itu, Rika enggan ambil pusing dengan tanggapan sekeliling bahawa Arayn Malek lebih layak untuk berada di pentas akhir pertandingan itu.

“Saya tidak mahu fikir mengenai perkara itu kerana ini semua rezeki. Saya hanya mahu fokus pada persembahan akhir tanpa memikirkan perkara negatif.

“Memanglah saya berdebar membuat persembahan terakhir ini, tetapi kalau dilayankan sangat perasaan, ia mungkin akan menjejaskan kemampuan sebenar saya,” katanya.

Bersyukur Stacy memilihnya sebagai protege, Rika berharap platform Mentor Milenia membantunya mencapai impian bergelar penyanyi profesional.

“Di bawah bimbingan Stacy, saya sendiri nampak perubahan diri yang lebih fokus. Saya bukanlah jenis orang yang cepat ingat, tetapi dengan bantuan mentor, saya boleh hafal dua lagu dalam masa seminggu,” katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2019 @ 5:20am
d