utama

Sultanah Terengganu tidak perlu hadir

KUALA LUMPUR: Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah tidak perlu hadir ke Mahkamah Tinggi di sini, untuk memberi keterangan dalam kes saman fitnahya terhadap pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi.

Ia berikutan baginda yang diwakili peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay berkata, Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan pihaknya berjaya dalam permohonannya untuk diputuskan melalui isu perundangan.

Bagaimanapun, pihak defendan iaitu Clare, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd perlu memberi keterangan di mahkamah sebelum kes saman diputuskan.

Terdahulu mahkamah membenarkan permohonan Sultanah Nur Zahirah mengikut Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 2012 iaitu diputuskan melalui isu undang-undang.

Hakim Ahmad Zaidi berkata, Sultanah Nur Zahirah berjaya membuktikan pernyataan fitnah di muka surat tiga buku itu merujuk kepada dirinya.

Menurutnya, pihak plaintif juga berjaya mengemukakan bukti yang memenuhi empat elemen fitnah.

Mahkamah menetapkan 20 Januari depan untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan.

Berdasarkan writ saman, Sultanah Nur Zahirah sebagai plaintif memfailkan saman dengan menamakan Clare, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd sebagai defendan.

Ia berhubung kenyataan fitnah terhadap Terengganu Investment Authority (TIA) dalam buku The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose.

Fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Terengganu, menggunakan peranannya untuk mempengaruhi penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA) serta menolong Jho Low bagi mendapatkan peranan sebagai penasihat dalam TIA serta terbabit dalam amalan rasuah.

Ia fitnah kerana Sultanah Nur Zahirah mendakwa tidak pernah membabitkan diri dengan urusan atau pentadbiran kerajaan atau penubuhan TIA.

Sultanah Nur Zahirah mendakwa akibat fitnah itu memalukan dan menjatuhkan reputasinya dalam pandangan masyarakat.

Oleh itu, Sultanah Nur Zahirah menuntut RM100 juta sebagai ganti rugi am daripada ketiga-tiga defendan.

Plaintif juga menuntut defendan kedua menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah daripada penjualan dan pengedaran.

Disiarkan pada: December 14, 2019 @ 6:30am
d