utama

Jangan tuduh kami

Oleh Skuad Khas Harian Metro

KUALA LUMPUR: “Tangkap dan rotan mana-mana warga asing yang menjalankan perniagaan haram di negara ini, manakala pemilik lesen yang bersekongkol disenarai hitamkan.”

Itu syor Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia yang mahu kerajaan membanteras habis-habisan aktiviti perniagaan haram dimonopoli warga asing.

Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihaknya sudah puluhan tahun menyuarakan isu itu namun tiada kesudahan.

“Di negara lain, tidak nampak warga kita boleh berniaga, tetapi di sini kita lihat pelbagai warga asing berniaga secara haram sedangkan kita tahu tiada lesen dikeluarkan kepada mereka.

“Walaupun ada tindakan, tetapi hambar seolah-olah tidak bersungguh-sungguh menyebabkan warga asing itu senang lenang bebas berniaga di negara kita.

“Saya syorkan mereka bukan saja didenda dan ditangkap, tetapi turut dirotan,” katanya mengulas kebanjiran warga asing hingga mampu membuka pelbagai perniagaan di dalam negara.

Menjawab soalan wartawan, beliau berpendirian bukan warga tempatan punca warga asing menjalankan perniagaan secara haram di negara ini sebaliknya kelemahan penguatkuasaan pihak berkuasa.

“Jangan menuduh warga tempatan, sebenarnya tiada lesen disewakan pun mereka yang datang menempel berniaga, jadi pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen dan polis harus tegas menjalankan penguatkuasaan.

“Malah, pihak persatuan tidak akan sesekali berkompromi atau mengeluarkan sebarang surat kepada mereka yang menyewakan lesen kepada warga asing untuk kembali mendapatkan sokongan permohonan lesen selepas dibatalkan,” katanya.

“Jika benar ada rakyat kita menyewakan lesen kepada warga asing, kita minta pihak kerajaan bertindak tegas termasuk senarai hitamkan nama mereka sebagai pengajaran,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, warga asing bebas menguasai kawasan dan perniagaan di Lembah Klang mengikut kewarganegaraan.

Keberanian mereka menjalankan perniagaan sah seperti kedai runcit, kosmetik dan restoran manakala perniagaan haram penjualan rokok seludup dan pelacuran menjadikan lambakan pendatang ke negara ini menimbulkan kegusaran.

Malah, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan turut menyalahkan orang tempatan yang menyewakan lesen membuka ruang kepada berlakunya aktiviti perniagaan haram dalam kalangan warga asing.

Disiarkan pada: December 14, 2019 @ 10:00am
d