utama

Siapa bakal ganti Kim Swee?

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu terlalu terburu-buru mencari pengganti jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Datuk Ong Kim Swee yang bakal menamatkan kontraknya hujung tahun ini.

Ia kerana badan induk bola sepak itu perlu menepati tiga kemungkinan yang ditetapkan bagi menggantikan tempat Kim Swee jika terdapat keperluan mendesak pada tahun depan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, antara kemungkinan terbabit adalah badan induk bola sepak negara itu bakal mempertimbangkan untuk menaikkan pangkat pengendali Skuad Bawah 18 Tahun (B-18), Brad Maloney bagi menggantikan Kim Swee.

“FAM juga tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan khidmat jurulatih skuad senior, Tan Cheng Hoe, sama seperti kaedah yang digunakan beberapa pasukan negara lain seperti Jepun.

“Pilihan ketiga adalah mencari jurulatih baharu bagi mengisi kekosongan terbabit namun ia tidak semestinya pengendali luar negara kerana banyak juga tenaga tempatan yang berkebolehan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, kontrak Kim Swee yang berakhir hujung tahun ini tidak akan disambung dan perkara itu diumumkan sehari selepas skuad B-22 negara gagal mara ke peringkat separuh akhir acara bola sepak temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

Untuk rekod, Maloney berjaya membuktikan kemampuannya dengan memimpin skuad B-18 ke Kejuaraan Bawah 19 tahun (B-19) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, tahun depan.

Skuad bimbingan Maloney mara ke pusingan akhir dalam aksi kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Stadium Nasional Olimpik, Phnom Penh awal bulan lalu dengan rekod cemerlang memenangi semua empat perlawanan bermula dengan kemenangan 5-4 ke atas Kemboja, Brunei (11-0) dan Kepulauan Mariana Utara (10-0) sebelum melengkapkan kemenangan 1-0 ke atas Thailand.

Disiarkan pada: December 16, 2019 @ 5:30am
d