utama

Redah sungai lepas bersalin [METROTV]

Oleh Rafiqah Dahali

PAPAR: Seorang ibu baru bersalin terpaksa berjalan sejauh lima kilometer (km) dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bongawan, kelmarin.

Ini berikutan jalan masuk ke Kampung Maihang, Ulu Bongawan terputus akibat tanah runtuh sehingga gagal dimasuki kenderaan akibat hujan lebat berterusan dan banjir sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, wanita berkenaan bersalin di rumah tanpa kehadiran doktor atau jururawat menyebabkan ahli keluarga bimbang kemungkinan berlaku komplikasi selepas bersalin.

Ahli keluarganya kemudian menghubungi jururawat di Klinik Desa Tibabar untuk mendapatkan bantuan, namun disebabkan laluan terputus selain terpaksa mengharungi sungai berarus deras bantuan tidak dapat dihantar.

Jururawat Masyarakat Klinik Desa Tibabar, Evelyn Brimus berkata, pihaknya menghubungi APM Papar untuk mendapatkan bantuan kerana menghadapi kesukaran untuk ke rumah wanita terbabit.

“Keluarga wanita itu menghubungi Klinik Desa Tibabar memaklumkan dia sudah melahirkan anak di rumah kerana tidak dapat keluar ke hospital disebabkan tanah runtuh dan banjir.

“Talian telefon di sana agak terbatas dan difahamkan ahli keluarganya terpaksa ke tempat tinggi untuk mencari rangkaian telefon agar dapat menghubungi kami. Saya menghubungi APM Papar bagi mendapatkan bantuan.

“Apabila kami sampai di lokasi, keadaan si ibu stabil, tetapi tali pusat bayinya belum dipotong,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Pegawai APM Papar, Leftenan (PA), Abdul Razaq Basir berkata, pihaknya menerima panggilan daripada jururawat Klinik Desa Tibabar pada jam 7.03 pagi sebelum bergegas ke Kampung Maihang dengan diiringi dua jururawat.

“Kami bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu membawa si ibu dan bayinya ke Klinik Kesihatan Bongawan untuk mendapatkan rawatan.

“Akibat tanah runtuh dan banjir, si ibu perlu berjalan keluar sejauh lima kilometer selepas mengharungi satu sungai dan tiga tanah runtuh.

“Bagaimanapun, berikutan rumah mereka berada di seberang sungai dan arus sungai pula deras menyebabkan ia tidak dapat diseberangi,” katanya.

Menurutnya, wanita itu terpaksa bertahan sehingga keesokkannya dan laluan boleh dilalui berikutan air sudah surut sebaik pasukan penyelamat tiba.

Katanya, pihaknya menggunakan laluan alternatif selain mengharungi sungai untuk tiba ke rumah mangsa bagi membawanya bersama bayi ke Klinik Kesihatan Bongawan berjarak kira-kira 20 kilometer.

“Anggota APM dan suami mangsa turut dibantu penduduk kampung untuk membuat jalan alternatif bagi memudahkan proses menyelamat,” katanya.

Disiarkan pada: December 16, 2019 @ 10:00am
d