utama

Anak Azian Mazwan meninggal dunia

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENYANYI era 80-an, Azian Mazwan Sapuwan kehilangan anak keempatnya Mohammad Aqil Zulkarnain yang meninggal dunia di Hospital Selayang, jam 11.30 pagi hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Azian menerusi hantaran di laman Facebook peribadinya.

Difahamkan, Mohammad Aqil Zulkarnain terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 22 November lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kecederaan parah di bahagian abdomen dan beberapa organ dalam badan.

Ketika dihubungi oleh Harian Metro pada 26 November lalu, penyanyi lagu Rumah Kecil Tiang Seribu itu enggan mengulas lanjut dan meminta semua pihak supaya mendoakan anaknya yang dalam proses rawatan.

Terdahulu suami Azian, Mohammad Ahrar Zulkarnain menulis di Facebooknya memaklumkan anaknya dalam keadaan koma bagi memulihkan hati dan limpanya selepas dibius sejak dimasukkan ke hospital.

Beliau turut meminta sahabat handai dan orang ramai supaya mendoakan Mohammad Aqil Zulkarnain dan memohon maaf seandainya anak mereka pernah melakukan kesalahan terhadap sesiapa.

Enam lagi anak pasangan itu ialah Mohammad Ashraf, Nur Athirah Hanim, Mohammad Azrail, Mohammad Amil, Mohammad Adib dan Anastasia Ayra.

Disiarkan pada: December 16, 2019 @ 2:37pm
d