utama

'Jalan untuk tahan, penjarakan saya' - Najib

Oleh Suraya Roslan dan Muhaamad Hafis Nawawi

“SAYA juga diberitahu, cerita baharu PH (Pakatan Harapan) ini membuka jalan kepada kerajaan untuk menahan dan penjarakan saya kerana kes pembunuhan tidak membenarkan jaminan, barulah saya boleh disenyapkan.”

Demikian penjelasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tampil mempertahankan diri selepas dakwaan terbaru bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri.

Najib menerusi akaun Facebook (FB) miliknya mendakwa, pembunuhan Altantuya berlaku kira-kira 13 tahun dulu dan sudah melalui ratusan hari perbicaraan selama bertahun-tahun di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan sampai ke Mahkamah Persekutuan yang memutuskan hukuman mati lima tahun dahulu.

“Sudah 19 bulan kerajaan PH memerintah, saya mengarahkan pegawai saya membuat laporan polis terhadap saya tentang kes (dakwaan) ini tahun lalu.

“Polis juga mengesahkan tiada bukti untuk kaitkan saya dengan kes berkenaan, seorang lagi pegawai polis yang dijatuhkan hukuman mati dalam kes ini pun saya pernah bersumpah tidak terbabit dan tiba-tiba ada cerita perisik Russia terkeluar pula, dakwa saya yang arahkan pembunuhan Altantuya kerana dia perisik Russia,” katanya.

Menurut beliau, kini tiba-tiba akuan bersumpah keluar daripada pegawai polis yang dijatuhkan hukuman mati.

“Peguam bela juga terkejut dengan akuan bersumpah tiba-tiba dari anak guamnya.

“Kalau nak percaya akuan bersumpah daripada seorang yang sudah dijatuhkan hukuman mati maka adakah kita juga perlu percaya akuan bersumpah bakal PM (Perdana Menteri) ke-8 mencabul bekas pegawai lelaki dia, tahun lalu?

“Adakah hukuman mati bakal ditarik balik atau ditangguhkan dengan akuan bersumpah ini?” katanya.

Najib juga mendakwa, secara logik jika dia sebagai TPM ketika itu begitu berkuasa dan kejam sehingga mengarahkan pembunuhan seorang wanita yang sedang mengugut US$500,000 daripada seorang kenalannya, kenapakah ahli politik PH semua baik-baik belaka sahaja ketika dia berkuasa sebagai Perdana Menteri.

“Tak dijelaskan juga kenapa perisik Russia perlu ugut dibayar US$500,000. Saya diberitahu perbicaraan kes 1MDB dan SRC saya tidak memberi impak yang diinginkan oleh PH, manakala usaha ‘cybertrooper’ serta propaganda mereka juga jauh ketinggalan.

“Apa yang saya tulis dalam media sosial disertakan fakta dan bukti serta apa yang saya ucap dalam ceramah saya amat sukar untuk dibalas atau disangkal oleh PH.

“Ada penganalisis berpendapat fakta yang saya keluarkan adalah antara senjata paling tajam menyumbang kepada kekalahan teruk PH di PRK (Pilihan Raya Kecil) Tanjung Piai,” katanya

Dakwanya, PH sekarang fobia dengan gelaran kerajaan sepenggal dan disebabkan itu perlu mengeluarkan konspirasi baru untuk menentang dan memfitnahnya.

Berita berkaitan

'Najib arah tangkap, hapuskan Altantuya' - Azilah

Disiarkan pada: December 16, 2019 @ 7:42pm
d