utama

'Bukan raih simpati, itu rindu!'

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

“SAYA sudah hubungi Siti Syahirah dan mendengar sendiri luahannya. Kami berbual dengan baik, tiada masalah, siap boleh gelak ketawa lagi,” kata Zunnur Aiman Nurikhan.

Sebelum ini, Zunnur berkongsi hantaran di Facebook (FB) mengenai kisah sedih suami isteri yang ditemuinya di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, Melaka kelmarin.

Menerusi hantaran berkenaan, dia berkongsi perbualannya dengan pasangan terbabit yang meluahkan kekecewaan mereka dengan sikap anaknya yang juga penuntut sebuah kolej universiti di Kajang kerana didakwa enggan bertemu mereka.

Lebih menyedihkan, suami isteri yang dipercayai menunggang motosikal dari Batu Pahat, Johor itu diminta meninggalkan komputer riba dibawa untuk anak mereka di pondok pengawal sebelum pulang dengan hampa.

Kisah itu mendapat perhatian warganet yang marah dengan sikap anak pasangan berkenaan selain menuduhnya tidak mengenang jasa serta pengorbanan ibu bapa.

Semalam portal Harian Metro melaporkan Siti Syahirah mendakwa insiden yang berlaku adalah salah faham membabitkan dirinya, keluarga dan individu yang menyebarkan kisah berkenaan dan ia sudah diselesaikan.

Zunnur ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini berkata, dia menganggap semua yang terbabit termasuk suami isteri terbabit, Siti Syahirah, Su dan pengawal keselamatan kolej universiti itu tidak bersalah.

“Saya sudah jelaskan dalam hantaran terbaru di FB untuk meredakan keadaan selepas masih ada yang membuatkan spekulasi tidak baik terhadap remaja itu.

“Tiba-tiba dia membuat kenyataan berbeza dalam laporan semalam dan kembali dikecam. Jadi, saya sudah jadi malas nak ambil tahu.

“Hantaran saya sebelum ini hanya berniat mahu membantu tapi tidak sangka jadi macam ini tapi tidak mengapalah, saya ambil tanggungjawab ini dan bantu mana yang boleh,” katanya.

Zunnur memberitahu, sekiranya gadis itu atau ada pihak lain yang mahu mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan diri mereka, itu adalah hak mereka.

Menurutnya, sebagai orang pertama yang menyampaikan situasi itu menerusi hantaran di FB pada Sabtu lalu, dia tiada masalah.

“Tujuan saya kongsi tempoh hari adalah untuk membantu dan menyedarkan diri saya sendiri dan orang lain supaya tidak terkena perkara sama.

“Dalam situasi ini, memang ramai warganet akan hentam semua yang terbabit. Itu bukan bidang kuasa saya. Saya tidak boleh halang warganet terus mengecam,” katanya.

Sementara itu, isu yang timbul itu mendapat perhatian ramai insan berhati mulia yang mahu menghulurkan bantuan kepada pasangan terbabit termasuk Siti Syahirah.

Zunnur berkata, banyak pihak menghubunginya kerana mahu menghulurkan bantuan kepada mereka.

Lelaki itu juga akui tidak mahu lagi mengganggu hidup mereka selepas ini kecuali sekadar akan ‘follow-up’ untuk ambil tahu mengenai keperluan mereka saja.

Dia turut memohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa dan menegaskan, segala tokok tambah cerita daripada orang lain adalah di luar bidang kuasanya.

“Apa yang saya tahu adalah dari apa yang saya dengar dari mulut pasangan itu sebab saya percaya kepada mereka sebagai figura ibu dan ayah.

“Tidak mungkin seorang ibu dan ayah menipu semata-mata mahu mendapatkan simpati orang ramai. Dari Johor ke Bangi, itu bukan raih simpati tetapi itu rindu!,” katanya.

Berita berkaitan

'Hentikan spekulasi, ia hanya salah faham'

Disiarkan pada: December 16, 2019 @ 8:24pm
d