utama

'Daddyku bukan pembunuh'

Oleh Shamran Sarahan dan Suraya Roslan

“BAPA saya bukan seorang pembunuh,” itu luah anak Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa dalam Instagram peribadi miliknya, @yananajib, hari ini.

Nooryana Najwa memberi reaksi itu bagi mempertahankan bapanya sebagai bukan seorang pembunuh seperti didakwa dalam akuan bersumpah bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri.

Dalam hantaran Instagram itu, Nooryana Najwa juga dalam nada sinis membidas pemimpin politik negara susulan isu yang timbul berikutan akuan bersumpah Azilah itu.

“Saya baru saja menghabiskan masa dua jam mendengar Presiden (Barack) Obama (bekas Presiden Amerika Syarikat) bercakap mengenai keperluan pemimpin politik untuk menyedari ‘anda berada dalam kedudukan ini untuk buat kerja anda dan bekerja untuk rakyat'.

“Dan siapakah yang menjadi mangsa terbesar dalam semua permainan yang tidak pernah berakhir dengan pengkhianatan dan fitnah?

“Rakyat, anak-anak kita, cucu kita ... Adakah kita membenarkan pembohongan dan penipuan menjadi satu kejayaan baru di negara kita?” katanya melalui hantaran itu.

Hari ini, portal berita Malaysiakini membuat laporan eksklusif yang mendedahkan Azilah membuat akuan bersumpah mendakwa menerima arahan daripada Najib untuk membunuh Altantuya Shaariibuu.

Azilah yang kini berada di Penjara Kajang mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya datang daripada Najib yang ketika kejadian adalah Timbalan Perdana Menteri dan rakan rapatnya, Abdul Razak Baginda.

Pada 13 Januari 2015, Hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada Azilah selepas membenarkan rayuan pendakwaan ketika kes berlangsung.

Azilah disabit bersalah atas dakwaan membunuh Altantuya antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006, di kawasan hutan di Puncak Alam, Selangor.

Selain Azilah, bekas koperal Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar yang turut dituduh melakukan pembunuhan itu dijatuhi hukuman sama, namun kini hidup sebagai pelarian dan lokasi terakhir diketahui berada di Pusat Tahanan Villawood, Sydney, Australia.

Berita berkaitan

'Jalan untuk tahan, penjarakan saya' - Najib

'Najib arah tangkap, hapuskan Altantuya' - Azilah

Disiarkan pada: December 16, 2019 @ 8:51pm
d