utama

Mengharap zuriat 2020

Oleh Najiy Jefri

TAHUN 2019 bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Bagi pelakon dan penyanyi popular, Izzue Islam, dia menganggap tahun ini cukup gemilang buat dirinya.

Izzue berkata, banyak perkara sudah dicapai dan dia bersyukur dengan setiap rezeki yang diberikan Ilahi.

Namun, di sebalik kejayaan karier yang dilakar, ada satu perkara yang belum dicapai dalam hidupnya iaitu mendapatkan anak.

“Tahun yang hampir lengkap dalam hidup saya. Banyak perkara yang saya dapat capai terutama dalam kerjaya seni.

“Bukan saja dapat bergelar pelakon dan penyanyi, tapi diberikan ruang untuk mencuba nasib dalam bidang penyampaian radio serta pengacaraan.

“Jujur semuanya hampir lengkap tapi ada satu impian yang belum dicapai iaitu anak. Saya pernah katakan dulu menjelang 2020 saya nak sambut tahun baru bertiga, tapi impian itu belum dapat dicapai.

“Saya positif dan bersyukur dengan setiap ketentuan Ilahi. Saya anggap belum rezeki saya dan isteri untuk menimang cahaya mata,” katanya.

Izzue berharap 2020 bakal memberi khabar gembira buat dirinya dan isteri agar dikurniakan cahaya mata.

“Harap tahun depan dapat timang cahaya mata dan menunaikan umrah. Doakan segala urusan saya dipermudahkan dan diberikan kesihatan yang baik,”katanya.

Ditanya mengenai pembabitannya dalam industri seni yang dikatakan merebut semua rezeki yang datang hingga tiada nilai eksklusif, Izzue berkata, dia sukar menolak rezeki yang datang.

“Saya tidak mahu tolak rezeki. Sekarang masa mencari pengalaman dan tambah ilmu. Saya memang suka bekerja dan tidak kisah penat.

“Saya nak orang gembira dengan apa yang saya lakukan. Semua ini saya buat untuk diri saya pada kemudian hari.

“Saya tak tahu berapa lama lagi bakal berada dalam industri seni. Jadi setiap peluang yang datang saya manfaatkan sebaik mungkin dan pastikan ia disampaikan dengan baik,” katanya.

Berbulan madu di Okayama

Izzue juga teruja apabila berpeluang bercuti ke Okayama, Jepun, baru-baru ini. Izzue berkata, dia begitu teruja apabila dapat menjejakkan kaki ke negara matahari terbit itu buat kali pertama. Lebih istimewa, impiannya untuk berbulan madu bersama isteri, Awin di Jepun akhirnya tercapai.

“Alhamdulillah, impian membawa isteri berbulan madu di Jepun menjadi kenyataan selepas enam tahun kami melayari bahtera perkahwinan.

“Walaupun agak terlewat, kami bersyukur dapat juga menjejakkan kaki di sana. Dapatlah kami berehat sambil meluangkan masa bersama-sama.

Menurut Izzue, sepanjang lima hari berada di Jepun bermula 22 hingga 26 November lalu, dia berpeluang membawa isterinya bersiar-siar di bandar Osaka, Kyoto dan Okayama.

“Percutian kali ini kami bersama pihak Okayama Health Tourism. Mereka bawa kami melawat beberapa tempat menarik sekitar Okayama.

“Ini percutian yang indah buat kami berdua kerana dapat mengenali budaya Jepun dan melihat sendiri kehidupan masyarakat di sana,” katanya.

Ditanya apakah momen paling diingati, Izzue berkata, pengalaman ketika mempelajari cara membuat sushi antara yang tidak dapat dilupakan.

“Boleh dikatakan semuanya menarik sebab ini pengalaman pertama saya ke Jepun. Tempatnya cantik, persekitaran yang berlainan dengan tempat kita dan berpeluang belajar buat serta makan sushi.

“Malah saya juga ambil peluang belajar bertutur bahasa Jepun. Memang pengalaman yang sangat bermakna,” katanya.

Katanya, antara tempat yang dilawati adalah Okayama Korakuen, Okayama Castle, Kanba Falls dan banyak lagi.

Dalam perkembangan lain, Izzue bakal membintangi drama bersiri 13 episod di TV3 berjudul Nasi Kerabu Untuk Che Abe.

“Saya bawa watak Faizul iaitu jejaka dari Kelantan. Saya bergandingan dengan Elisha Sandha.

“Selain itu, saya juga bakal lancarkan single duet terbaharu bersama seorang penyanyi berbangsa Cina. Siapakah dia, tunggu saja nanti,” katanya.

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 5:30am
d