utama

Hebat Perodua Kancil

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

BUKAN sekadar berjaya melengkapkan penjelajahan sejauh lebih 6,500 kilometer (km) namun dalam masa sama membuktikan kereta buatan Malaysia mampu mempunyai keupayaan meredah laluan mencabar.

Memperincikan penjelajahannya baru-baru ini, Azman Ali, 46, berkata Perodua Kancil yang digunakan untuk bergerak dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang hingga ke sempadan Laos-China tidak berdepan sebarang masalah walaupun berkapasiti enjin kecil.

Menurutnya, lebih mengujakan apabila dia turut berkesempatan memandu kereta berusia 25 tahun itu ke kilang Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) di Sungai Choh, Rawang yang menjadi tempat ‘lahir’ kenderaan itu.

“Kisah saya memandu Perodua Kancil sudah tular awal bulan ini namun lebih mengujakan apabila pengembaraan bersama isteri lengkap tanpa berdepan sebarang masalah.

“Ini membuktikan kereta buatan nasional ini bukan saja berkualiti tinggi malah mampu meredah perjalanan panjang dengan laluan berliku dan berbukit tanpa berdepan sebarang masalah.

“Ketika di kilang Perodua, saya sempat dibawa kakitangan meninjau pusat pameran dan kilang pembuatan kenderaan. Mereka juga berbangga apabila kereta yang dihasilkan berjaya merentasi beberapa negara tanpa masalah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Kisah Azman bersama isterinya Nurul Ramli, 38, disiarkan portal Harian Metro 4 Disember lalu menerima reaksi positif warganet yang kagum dengan usaha pasangan ini yang menjelajah negara orang hanya menaiki Perodua Kancil.

Beliau berkata, sepanjang penjelajahan selama 17 hari itu, beliau hanya mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM2,600 untuk menampung kos petrol, makanan serta penginapan.

“Seronok menjelajah negara orang kerana kita dapat mengenali budaya selain berkesempatan merakam gambar di lokasi menarik seperti di kawasan berbukit di Doi Anthanon, Thailand.

“Kami juga sempat merasai suasana dingin sepanjang berada di utara Thailand. Ini pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya yang berazam untuk memandu Perodua Kancil ke Makkah bagi menunaikan umrah satu hari nanti.

Disiarkan pada: December 17, 2019 @ 8:00pm
d