utama

Dibedah usia sehari

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

WALAUPUN usianya baru lima bulan, tetapi seorang bayi perempuan menanggung derita apabila mengalami masalah usus hingga menyebabkan dia tidak boleh membuang air besar sebaik dilahirkan.

Bayi itu, Siti Afeeya Mohammad Nor Azan yang tinggal di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor di sini, menjalani pembedahan membuat usus di bahagian perut ketika berumur sehari di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ibunya, Siti Normurni Yatim Mustafa, 23, anak tunggalnya dilahirkan secara pembedahan ketika berusia 36 minggu dengan berat 2.1 kilogram (kg).

“Selepas dilahirkan, perut anak saya kelihatan buncit dan keadaannya kritikal iaitu 50-50 dan terpaksa menjalani pembedahan kecemasan di bahagian perut bagi membuang air besar.

“Doktor memaklumkan dubur anak saya mungkin tidak mempunyai saraf menyebabkan dia tidak dapat membuang air besar secara normal.

“Selepas pembedahan, anak saya dapat membuang air besar melalui perut dan setiap hari perlu mencuci tiga hingga lima kali bergantung kepada kekerapan dia membuang air besar,” katanya di rumahnya di sini semalam.

Menurutnya, setiap bulan dia membelanjakan lebih RM600 untuk keperluan anaknya termasuk susu khas dan beg stoma untuk membuang najis.

“Saya tidak bekerja dan setakat ini perbelanjaan anak ditanggung ibu dan suami. Selepas ini (bercerai) saya tidak tahu bagaimana nasib kami memandangkan saya tidak bekerja.

“Kini saya mahu memberi tumpuan kepada anak dan akan menjaganya dengan penuh kasih sayang.

“Saya meminta orang ramai mendoakan supaya anak saya kembali pulih dan berharap pihak hospital dapat mengenal pasti punca masalah anak melalui dua ujian sampel yang dibuat sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami, Mohamad Nor Azan Huzir, 21, yang bekerja di Pelabuhan Klang dalam proses perceraian.

Disiarkan pada: December 18, 2019 @ 6:00am
d